Fasa kedua gencatan senjata Gaza bermula

Fasa kedua gencatan senjata Gaza bermula

KEADAAN di kawasan khemah perlindungan yang menempatkan rakyat Palestin di sepanjang pantai di Gaza City.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengumumkan permulaan fasa kedua gencatan senjata Gaza, termasuk penubuhan jawatankuasa teknokrat Palestin yang dijangka mengambil alih pengurusan harian wilayah itu untuk tempoh peralihan.

Pengumuman tersebut dibuat di media sosial oleh utusan khas Presiden Donald Trump, Steve Witkoff, tetapi tidak memperincikan butiran atau senarai anggota jawatankuasa kebangsaan untuk pentadbiran Gaza yang dicadangkan itu.

Jawatankuasa itu dijangka tidak akan memulakan tugas sehingga diberi mandat oleh Lembaga Keamanan, yang masih belum ditubuhkan, dipengerusikan oleh Trump.

Witkoff berkata, fasa kedua akan memulakan demilitarisasi penuh dan pembinaan semula Gaza, terutama pelucutan senjata semua anggota tidak sah.

Fasa pertama gencatan senjata bermula 10 Oktober, dengan pertukaran tebusan dan tahanan Palestin dilaksanakan.

Meskipun serangan berkurangan, ia tidak berhenti sepenuhnya, malah Israel terus mencabul perjanjian yang menyebabkan 450 rakyat Palestin terkorban dan menyekat bantuan penting masuk ke Gaza mengikut jumlah yang dipersetujui.

Walaupun Witkoff tidak memberikan butiran mengenai jawatankuasa interim Palestin yang dicadangkan, Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty, mengumumkan persetujuan telah dicapai mengenai kesemua 15 anggotanya.

Badr berkata, jawatankuasa itu akan dikerahkan ke Gaza untuk menguruskan kehidupan seharian dan perkhidmatan penting.

Ahli jawatankuasa itu dijangka terdiri daripada teknokrat dan bukan ahli politik, tetapi beberapa daripadanya dipercayai mempunyai kaitan dengan parti Fatah, yang dominan di Pihak Berkuasa Palestin (PA).

Dua calon yang disebut-sebut bakal mengetuai jawatankuasa itu adalah bekas timbalan menteri perancangan PA, Ali Shaath dan Menteri Kesihatan PA, Majed Abu Ramadan.

Menurut diplomat di rantau itu, kerja jawatankuasa peralihan Palestin akan dipantau oleh diplomat veteran Bulgaria dan wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Nickolay Mladenov.

Mladenov pula akan melaporkan kepada lembaga keamanan Trump, yang dijangka terdiri daripada beberapa pemimpin dunia.- THEGUARDIAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN