ARAU: Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perlis di sini hari ini.
Majlis istiadat pelantikan dan angkat sumpah jawatan itu berlangsung pada pukul 11.30 pagi di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Istana Arau di sini.
Turut berangkat pada majlis tersebut, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Waris Yang Kedua Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Hadir sama, Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah dan Speaker DUN, Rus’sele Eizan.
Antara ADUN Pas yang hadir mengikuti istiadat angkat sumpah itu terdiri daripada ADUN Sanglang, Mohd. Shukri Ramli; Muhammad Azmir Azizan (Santan); Razali Saad (Simpang Empat); Haziq Asyraf Dun (Beseri) dan Wan Badariah Wan Saad (Mata Ayer) serta ADUN Indera Kayangan dari PKR, Gan Ay Ling.
ADUN dari Bersatu yang dilantik sebagai Exco kerajaan negeri itu terdiri daripada ADUN Titi Tinggi, Izizam Ibrahim; Marzita Mansor (Sena); Megat Hashirat Hassan (Pauh) dan Wan Zikri Afhtar Ishak (Tambun Tulang).
Abu Bakar selaku Menteri Besar akan memegang portfolio Pentadbiran, Kewangan, Pelaburan dan Ekonomi, Tanah dan Sumber Asli, Pelancongan dan Seni Budaya, Infrastruktur dan Kemajuan Luar Bandar dan Keselamatan serta Hubungan Sempadan.
Izizam pula memegang portfolio Hal Ehwal Agama, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kepenggunaan dan Sumber Manusia dan Modal Insan.
Selain itu, Marzita akan memegang portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pendidikan, Perpaduan dan Kebajikan serta Pembasmian Kemiskinan.
Megat Hashirat memegang portfolio Pertanian, Kesihatan, Keusahawanan dan Koperasi serta Alam Sekitar manakala Wan Zikri pula memegang portfolio Belia dan Sukan, Komunikasi dan Digital, Pengangkutan dan Sains, Teknologi serta Inovasi.
Tiga kekosongan jawatan masih belum diisi susulan Pas memutuskan untuk tidak menganggotai barisan Exco kerajaan negeri sebagai tanda solidariti kepada peletakan jawatan bekas Menteri Besar, Mohd. Shukri sebelum ini.-UTUSAN










