Ejen imigresen didakwa langgar protokol di Minneapolis

Ejen imigresen didakwa langgar protokol di Minneapolis

PENUNJUK perasaan berlari menyelamatkan diri semasa protes anti imigresen susulan kejadian tembakan di Minneapolis, Minnesota pada Sabtu lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump mengaku kemungkinan berlaku pelanggaran protokol oleh ejen imigresen di Minneapolis sebelum insiden tembakan yang meragut nyawa seorang jururawat, hujung minggu lalu.

Pengakuan itu dibuat Timbalan Ketua Kakitangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Stephen Miller, ketika Trump cuba meredakan ketegangan di Minneapolis susulan pembunuhan Alex Pretti, 37, semasa protes menentang tindakan keras imigresen pada Sabtu.

Miller, tokoh berpengaruh yang mengetuai dasar imigresen Trump, berkata Rumah Putih kini sedang meneliti kemungkinan pelanggaran itu.

Beliau berkata, panduan jelas diberikan mengenai kakitangan tambahan yang dihantar ke Minnesota, termasuk mewujudkan penghalang fizikal antara pasukan penangkapan dan penunjuk perasaan bagi mengelakkan pertembungan.

“Kami sedang menilai mengapa pasukan CBP (Perlindungan Kastam dan Sempadan) mungkin tidak mengikuti protokol tersebut,” katanya.

Rumah Putih kemudian menjelaskan Miller merujuk kepada ‘panduan umum’ bagi ejen imigresen yang bertugas di negeri berkenaan, dan bukan insiden khusus yang mengakibatkan kematian Pretti.

Katanya,  pihak berkuasa juga akan meneliti mengapa aset perlindungan tambahan tidak disediakan untuk menyokong operasi mengeluarkan pendatang tanpa izin dari Minnesota.

Miller juga dilihat menyalahkan kedua-dua agensi kawalan sempadan dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) atas kenyataan pada Sabtu lalu, yang sejak itu menerima pelbagai kritikan.

Tidak lama selepas kejadian pembunuhan itu, beliau menyifatkan Pretti sebagai ‘bakal pembunuh’ dan menuduhnya berniat membunuh ejen persekutuan.

Namun, Miller berkata kenyataannya sebelum ini adalah berdasarkan kenyataan awal Setiausaha DHS, Kristi Noem, yang secara salah mendakwa Pretti sedang mengacukan senjata ketika menghampiri ejen persekutuan.

Rakaman video kemudiannya menunjukkan mangsa tidak memegang sebarang pistol pada waktu kejadian. Pretti memang mempunyai senjata bersama, tetapi ejen merampasnya sebelum dia ditembak berkali-kali pada jarak dekat.

“Kenyataan awal daripada DHS adalah berdasarkan laporan daripada CBP di lokasi kejadian,” kata Miller dalam kenyataannya.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN