RIYADH: Dua sekutu Amerika Syarikat (AS) di Asia Barat tidak membenarkan ruang udara atau wilayahnya digunakan untuk sebarang tindakan ketenteraan terhadap Iran.
Arab Saudi memberi jaminan itu menerusi panggilan telefon antara Putera Mahkota, Mohammed bin Salman dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.
Beliau menegaskan pendirian Riyadh dalam menyokong sebarang usaha menyelesaikan perbezaan melalui dialog demi mengukuhkan keselamatan serta kestabilan serantau.
Iran dilaporkan menyambut baik pendirian tersebut dan mengalu-alukan sebarang proses yang mengekalkan keamanan sesuai dengan undang-undang antarabangsa untuk mengelakkan konflik.
Kenyataan pemerintah de facto Arab Saudi itu menyusul selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut tidak membenarkan sebarang tindakan ketenteraan terhadap Iran menggunakan ruang udara atau perairan wilayahnya.
Ketidaktentuan mengenai kemungkinan tindakan ketenteraan terhadap Iran berterusan selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memaklumkan armadanya tiba di rantau Asia Barat, dan berharap ia tidak perlu digunakan.
Trump pada Selasa turut memaklumkan satu lagi ‘armada’ tentera AS sedang belayar menuju ke Iran, sambil menyatakan harapannya agar Teheran bersetuju untuk membuat perjanjian dengan Washington.
“Ada satu lagi armada yang cantik sedang belayar dengan indah ke arah Iran ketika ini. Saya berharap mereka akan membuat perjanjian,” kata Trump dalam satu ucapan.
Sebuah kapal pengangkut pesawat AS beserta kapal perang sokongan tiba di Asia Barat pada Isnin, yang meningkatkan keupayaan Trump untuk mempertahankan pasukan AS atau berpotensi melancarkan tindakan ketenteraan terhadap Iran.
Komando Pusat AS (CENTCOM) mengesahkan kumpulan itu tiba di Asia Barat dan menyatakan kehadirannya adalah bagi menggalakkan keselamatan dan kestabilan serantau.
Ini merupakan kali ketiga kumpulan penyerang yang dikerahkan ke Indo-Pasifik dialihkan ke Asia Barat akibat ketidakstabilan di rantau tersebut.- AGENSI










