BEIJING: Individu yang makan daging mempunyai peluang lebih tinggi untuk mencapai usia 100 tahun berbanding mereka yang mengamalkan diet vegan atau vegetarian.
Penyelidik dari China mendapati, mereka yang tidak makan daging mempunyai 19 peratus kurang peluang untuk hidup sehingga usia seabad, walaupun selepas mengambil kira faktor lain seperti aktiviti fizikal, tabiat merokok serta keadaan kesihatan.
Trend itu paling ketara dalam kalangan vegan, yang didapati 29 peratus kurang berpeluang untuk mencapai usia 100 tahun berbanding mereka yang mengamalkan diet omnivor.
Bagi vegetarian, yang masih makan telur dan produk tenusu, peluang mereka untuk mencapai usia 100 tahun masih 14 peratus lebih rendah berbanding individu makan daging, walaupun sedikit lebih baik daripada vegan.
Malah, diet pescetarian yang semakin popular, iaitu berasaskan tumbuhan tetapi masih mengambil ikan, turut dikaitkan dengan peluang lebih rendah untuk hidup hingga usia tersebut.
Penyelidik berpendapat, perbezaan ketara itu mungkin berlaku kerana warga emas memerlukan lebih banyak nutrien berbanding apa yang terdapat dalam diet vegetarian.
“Penemuan kami mencadangkan individu berusia 80 tahun ke atas, diet yang merangkumi makanan berasaskan tumbuhan dan haiwan lebih sesuai menyokong kelangsungan hidup hingga usia 100 tahun berbanding diet vegetarian, terutama bagi mereka yang kurang berat badan,” kata penyelidik dari Universiti Fudan, Dr Xiang Gao.
Kajian itu melibatkan 5,203 peserta dalam Tinjauan Panjang Umur Sihat Longitudinal Cina, di mana kesemuanya berusia 80 tahun ke atas ketika kajian bermula pada 1998.
Daripada jumlah tersebut, 1,495 daripadanya hidup hingga 100 tahun, manakala 3,744 lagi meninggal dunia sebelum mencapai usia seabad.
Dengan menggunakan alat statistik, penyelidik menganalisis maklumat kesihatan peserta untuk melihat sejauh mana kesan diet terhadap peluang mencapai usia 100 tahun.
Secara keseluruhan, peserta yang mengambil daging sebagai sebahagian diet mereka sepanjang kajian lebih cenderung untuk menjadi centenarian.
Bagaimanapun, penyelidik menegaskan pengambilan sayur setiap hari juga memberi kesan besar terhadap peluang hidup sehingga 100 tahun.- AGENSI










