Dewan Sri Pinang dinaik taraf babit peruntukan RM52 juta

Dewan Sri Pinang dinaik taraf babit peruntukan RM52 juta

DEWAN Sri Pinang di George Town, Pulau Pinang akan ditutup buat sementara waktu menjelang suku terakhir tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Dewan Sri Pinang yang menjadi pusat kegiatan sosial, kebudayaan dan seni di Pulau Pinang sejak 1972 akan dinaik taraf dengan peruntukan sebanyak RM52 juta yang dibiayai melalui geran Kerajaan Persekutuan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, bagi memberi laluan kepada kerja-kerja naik taraf tersebut, dewan bersejarah itu akan ditutup buat sementara waktu menjelang suku terakhir tahun ini.

“Sebelum ini, memang kerajaan negeri telah memohon pinjaman daripada Persekutuan untuk melaksanakan projek tersebut dan permohonan itu telah diluluskan. Namun, pinjaman tersebut kemudiannya ditukar kepada geran.

“Ini bermakna, kerja-kerja naik taraf Dewan Sri Pinang akan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri tidak perlu membayar balik kos tersebut,” katanya selepas menghadiri perhimpunan penjawat awam di Dewan Sri Pinang di sini semalam.

Kon Yeow berkata, projek nak taraf itu dijangka dilaksanakan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan ketika ini, pihak yang berkaitan sedang dalam proses memuktamadkan reka bentuk bagi kerja-kerja penaiktarafan berkenaan.

“Kami harap tender akan dapat dipanggil sekitar Julai ini dan pelaksanaan projek pula dijangka bermula pada suku terakhir tahun ini,” katanya yang memberitahu dewan terbabit masih boleh digunakan sehingga kerja-kerja naik taraf dimulakan.

Katanya, ini kali pertama Dewan Sri Pinang dinaik taraf secara menyeluruh dan projek berkenaan dijangka mengambil masa sehingga dua tahun untuk disiapkan sepenuhnya.

Terdahulu, ketika berucap sempena perhimpunan tersebut, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri menyambut baik langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat setiap laporan yang diterima membabitkan penjawat awam di negeri itu.

Untuk rekod, daripada kese­luruhan kes rasuah membabitkan penjawat awam di Pulau Pinang tahun lepas, hanya enam daripadanya melibatkan kerajaan negeri manakala kes selebihnya membabitkan agensi Persekutuan di Pulau Pinang.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN