Campur tangan AS di Venezuela cetus kecelaruan pasaran global

Campur tangan AS di Venezuela cetus kecelaruan pasaran global

STEPHEN DOVER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Campur tangan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di Venezuela menyebabkan ketidaktentuan pasaran global dan mendorong negara-negara lain meningkatkan perbelanjaan keselamatan.

Ketua Strategi Pasaran dan Ketua Franklin Templeton Institute, Stephen Dover berkata, tindakan AS itu bukan sesuatu yang luar biasa memandangkan Washington mempunyai sejarah panjang campur tangan di Hemisfera Barat sejak pengumuman Doktrin Monroe pada 1823.

“Adalah tidak tepat untuk menganggap tindakan ini sebagai perubahan besar dalam dasar luar AS atau petanda langkah sama akan diambil di Asia Barat atau wilayah lain.

“Tindakan unilateral AS dan kesediaannya menggunakan kekerasan berpotensi mendorong negara lain bertindak lebih agresif, selain meningkatkan ketidaktentuan terhadap peranan dolar AS sebagai mata wang selamat serta mencabar kestabilan institusi antarabangsa.

“Keadaan ini dijangka mengukuhkan trend sedia ada, di mana negara-negara di seluruh dunia meningkatkan pelaburan dalam keselamatan nasional masing-masing, seperti satu pelaburan utama sejak pencerobohan Russia ke atas Ukraine,” katanya dalam satu ulasan mengenai implikasi Venezuela terhadap pasaran dan pelabur.

Mengenai kesan terhadap pasaran minyak, Dover berkata, terdapat impak jangka pendek tetapi terhad.

Katanya, ketidaktentuan pentadbiran Venezuela serta rekod bercampur AS dalam usaha pertukaran rejim di negara pengeluar minyak seperti Iraq dan Libya menyebabkan pasaran tidak menjangkakan peningkatan segera bekalan minyak mentah.

“Venezuela memiliki rizab minyak mentah terbesar dunia melebihi 300 bilion tong, namun keadaan infrastruktur pengeluaran dan pengangkutan minyak yang uzur serta kualiti minyak mentah yang berat menunjukkan pengeluaran atau eksport tidak akan meningkat dengan cepat.

“Pada masa ini, pengeluaran sekitar satu juta tong sehari, kira-kira satu peratus daripada pengeluaran global, dan sebahagian besar dieksport ke China.

“Kestabilan jangka panjang di Venezuela, digabungkan dengan kemungkinan perjanjian damai di Ukraine, berpotensi `membebaskan’ lebih lima juta tong minyak sehari ke pasaran global menjelang akhir dekad ini.

“Keadaan itu dijangka mengekalkan harga minyak rendah dalam tempoh lebih lama, memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi global dan mengekang inflasi,” katanya.

Dover berkata, tindakan ketenteraan AS sahaja tidak mampu membuka potensi besar rizab minyak Venezuela tanpa kestabilan politik dan pelaburan berskala besar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN