ARAU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas akan mencari jalan bagi memperkukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) ekoran beberapa krisis melanda gabungan tersebut sebelum ini.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, menerusi kunjungan ke negeri ini bermula semalam, terdapat beberapa perkara dibangkitkan khususnya berkaitan harapan dinyatakan agar perpaduan sekian lama terjalin dalam gabungan itu dapat diteruskan biar pun berdepan beberapa episod tidak begitu baik.
Beliau berkata, Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah turut menyatakan komitmen bagi mencari jalan terbaik dalam membantu menyelesaikan permasalahan tertentu di Perlis.
“Kita sudah dengar semua tentang harapan dinyatakan supaya kerjasama dan perpaduan yang sekian lama terjalin antara Bersatu dan Pas ini mesti diteruskan walaupun ada episod tidak berapa baik.
“Namun itu harus kita lupakan dan cari jalan supaya kerjasama Pas-Bersatu dalam PN mesti diperkukuhkan, kena cari jalan,” katanya selepas mengunjungi Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin di Kampung Sena, di sini, hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin turut berkesempatan mengadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan mengadakan pertemuan bersama Abu Bakar di pejabat Menteri Besar.
Sebelum ini, krisis politik melanda Perlis yang membawa kepada peletakan jawatan Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli, pengosongan tiga kerusi Dewan Undagan Negeri (DUN) serta penamatan keahlian tiga Ahli Undangan Negeri (ADUN) dari Pas.
Pada 28 Disember lalu, Abu Bakar yang juga ADUN Kuala Perlis mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar selepas mendapat perkenan Raja Perlis.
Muhyiddin berkata, beliau turut bersedia dalam memberikan pandangan dan nasihat bagi membantu pentadbiran kerajaan negeri selepas ini.
“Yang pentingnya, kerajaan negeri Perlis ini banyak perkara perlu dilaksanakan dan saya juga bersedia untuk membantu dengan memberi sokongan idea saya,” katanya.-UTUSAN










