Bermula 25 Januari ini, polis roboh 71 lagi pangkalan haram di Sungai Golok

Bermula 25 Januari ini, polis roboh 71 lagi pangkalan haram di Sungai Golok

MOHD. Yusoff Mamat (kanan) memberikan kata-kata semangat kepada anggotanya semasa selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Polis Peringat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Sebanyak 71 buah lagi pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok yang menjadi sempadan pemisah antara Malaysia-Thailand di negeri ini akan dirobohkan bermula 25 Januari ini.

Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, ia melibatkan pangkalan haram jenis berstruktur yang mempunyai tangga, jeti, dan sebagainya dipercayai untuk kemudahan jenayah rentas sempadan.

“Jumlah tersebut adalah baki daripada 96 pangkalan haram berstruktur. Insya Allah kesemua pangkalan haram itu akan siap dirobohkan sebelum Mac ini.

“Operasi ini kerjasama penuh dari Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Polis Peringat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) Kota Bharu di sini.

Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff memberitahu, pihaknya akan melakukan kerja-kerja perobohan pangkalan haram dari arah sungai disebabkan laluan masuk ke kawasan itu sempit.

Katanya, Polis Kelantan sudah mendapat peruntukan khas daripada kerajaan dalam melaksanakan operasi tersebut.

“Kita harapkan operasi ini berjalan lancar dalam membantu mengurangkan jenayah rentas sempadan.

Mohd. Yusoff berkata, sepanjang kerja-kerja perobohan itu pihaknya tidak menerima sebarang provokasi daripada penduduk tempatan susulan tindakan tegas tersebut.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, semua pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok, sempadan Malaysia–Thailand di negeri ini yang sudah dirobohkan, tidak dibangunkan semula untuk aktiviti jenayah rentas sempadan terutama penyeludupan.

Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, sejak November lalu hingga semalam sebanyak 25 buah pangkalan haram sudah dirobohkan dalam usaha membanteras penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN