Bagai ‘sirih pulang ke gagang’, Wan Zikri kembali ke kerusi Exco sukan - Utusan Malaysia

Bagai ‘sirih pulang ke gagang’, Wan Zikri kembali ke kerusi Exco sukan

WAN Zikri Afhtar Ishak mengangkat sumpah jawatan Exco pada majlis pelantikan dan angkat sumpah jawatan tersebut di Istana Arau, Perlis hari ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Wan Zikri Afhtar Ishak yang menunjukkan prestasi cemerlang semasa memegang portfolio Belia dan Sukan termasuk berjaya membawa Perlis meraih banyak pingat emas dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2024 digugurkan sebagai Exco pada Oktober tahun berkenaan selepas tidak sampai setahun memegang tanggungjawab tersebut.

Pengguguran beliau pada masa itu mengejutkan ramai pihak disebalik prestasi cemerlang ditunjukkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Bagai ‘sirih pulang ke gagang’, Wan Zikri kembali diberi tanggungjawab dan amanah memegang portfolio berkenaan selepas dilantik semula membarisi Exco kerajaan negeri dalam majlis pelantikan dan angkat sumpah jawatan tersebut di sini hari ini.

Selain Wan Zikri, ADUN Pauh, Megat Hashirat Hassan yang turut digugurkan daripada jemaah Exco Perlis pada tahun sama turut dilantik semula menyertai dua lagi ADUN dari Bersatu iaitu Izizam Ibrahim (Titi Tinggi) dan Datin Marzita Mansor (Sena) di bawah pentadbiran Menteri Besar baharu, Abu Bakar Hamzah.

Wan Zikri berkata, beliau akan kembali meneruskan agenda transformasi pembangunan sukan di negeri ini selepas ‘berehat’ setahun apabila digugurkan sebelum ini.

“Fokus utama juga dalam menghadapi Sukma 2026 bagi memastikan kelancaran sasaran 20 pingat emas dapat dicapai. Selepas kembali dilantik, yang pertama, saya suka pada cabaran ini dan akan meneruskan agenda yang telah dibawa sejak 2024 namun terhenti selepas digugurkan.

“Kita akan terus agenda transformasi pembangunan sukan negeri.Daripada segi tanggungjawab memegang antara empat sehingga lima portfolio, saya tidak melihat ia sebagai sesuatu yang membebankan sebaliknya tanggungjawab perlu dilaksanakan.

“Dalam masa sama, kita juga menghormati keputusan Pas untuk tidak menyertai barisan Exco kerajaan negeri namun mereka juga telah menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri ini sehingga habis penggal,” katanya.

Selain Belia dan Sukan, Wan Zikri juga memegang portfolio Komunikasi dan Digital, Pengangkutan dan Sains, serta Teknologi dan Inovasi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN