RIYADH: Kementerian Luar Arab Saudi menyeru puak selatan Yemen untuk menghadiri dialog di Riyadh, susulan serangan udara yang membawa maut dan usaha mengejut untuk menuntut kemerdekaan.
Dalam satu kenyataan di media sosial semalam, kementerian itu menggesa persidangan komprehensif di Riyadh untuk menyatukan semua puak selatan bagi membincangkan penyelesaian adil terhadap isu di wilayah tersebut.
Riyadh berkata, kerajaan Yemen sudah mengeluarkan jemputan untuk rundingan.
Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) selama bertahun-tahun menyokong pelbagai puak dalam wilayah dikawal kerajaan Yemen, campur tangan dalam perang saudara yang berlarutan di negara jiran itu.
Satu daripada puak tersebut, Majlis Peralihan Selatan (STC) yang disokong UAE, kini sedang berusaha untuk mengisytiharkan kemerdekaan dan membentuk sebuah negara pemisah, berpotensi membahagikan negara termiskin di Semenanjung Arab itu kepada dua.
STC, yang menguasai sebahagian besar wilayah dalam beberapa minggu kebelakangan ini, mengumumkan rancangan untuk proses peralihan selama dua tahun bagi menubuhkan sebuah negara di selatan.
Kelmarin, serangan udara oleh gabungan pimpinan Arab Saudi menyebabkan 20 orang terbunuh, menurut puak pemisah.
Gabungan yang disokong Arab Saudi itu dibentuk pada 2015 dalam usaha untuk mengusir pemberontak Houthi dari utara Yemen.
Namun, selepas perang saudara berdarah selama sedekad, Houthi masih kekal di utara, manakala puak yang disokong Arab Saudi dan UAE saling menyerang di selatan.- AFP










