Algeria tutup sekolah selepas diancam ribut besar

Algeria tutup sekolah selepas diancam ribut besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALGIERS: Kerajaan Algeria mengumumkan penutupan sekolah di sebahagian besar wilayahnya selama dua hari sebagai persediaan menghadapi ancaman ribut besar.

Langkah kecemasan itu diambil susulan ramalan angin kencang yang dijangka mencecah kelajuan sehingga 120 kilometer sejam (74 batu sejam) di seluruh negara Afrika Utara itu pada Rabu, termasuk di ibu negara, Algiers.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan memaklumkan sesi persekolahan digantung di 52 daripada 69 wilayah di Algeria selepas menerima amaran ribut daripada pihak berkuasa kaji cuaca.

Jabatan Pertahanan Awam Algeria menggesa orang ramai supaya mengambil langkah berhati-hati dan menasihati penduduk untuk menyediakan sumber pencahayaan yang tidak bergantung kepada bekalan elektrik.

Selain itu, orang awam diminta menjauhi kawasan tingkap dan tiang elektrik, serta mengelakkan sebarang perjalanan kecuali bagi urusan yang benar-benar mendesak.

Minggu lalu, kejadian cuaca ekstrem di Algeria dilaporkan telah meragut dua nyawa, termasuk seorang kanak-kanak.

Di wilayah Relizane, Algiers, dan Tipaza, beberapa kawasan kejiranan dilanda banjir besar manakala rangkaian jalan raya utama terputus akibat hujan lebat yang berterusan.

Situasi serupa turut melanda negara jiran, Tunisia, yang melaporkan beberapa kematian akibat banjir dan kejadian lemas di laut susulan cuaca buruk tersebut.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN