KOTA BHARU: Seramai 99 individu di negeri ini bakal memulakan aktiviti mendulang emas secara sah selepas Kerajaan Kelantan meluluskan permohonan mereka berkuat kuasa esok.
Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan, Datuk Nik Raisnan Daud, berkata, kelulusan tersebut melibatkan kawasan Tanah Merah, Jeli dan Kuala Krai.
Menurutnya, kesemua penerima lesen berkenaan merupakan kumpulan pertama yang berjaya memperoleh kebenaran selepas permohonan mereka diluluskan kerajaan negeri.
“Mereka ini adalah individu yang mengemukakan permohonan pada 1 Januari lalu dan kini boleh memulakan aktiviti mendulang emas secara sah.
“Lesen ini boleh dituntut di pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri di Kompleks Kota Darulnaim,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Utusan Malaysia 14 Januari lalu melaporkan, rakyat Kelantan yang telah memohon lesen mendulang emas boleh menjalankan aktiviti berkenaan secara sah selepas kerajaan negeri mula mengeluarkan kebenaran itu bermula Rabu depan.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, ia sekali gus membolehkan individu yang memiliki lesen itu menjalankan aktiviti berkenaan secara sah di sungai-sungai yang telah diwartakan.
Terdahulu, Kerajaan Kelantan mewartakan lima kawasan sungai di negeri ini bagi membolehkan rakyat yang memiliki lesen untuk menjalankan aktiviti mendulang emas secara sah sebagaimana telah diumumkan sebelum ini.
Ia melibatkan Sungai Tadoh dan Pergau bagi jajahan Jeli, Galas (Gua Musang), Gentiang (Kuala Krai) serta Bertam (Tanah Merah).-UTUSAN










