PARIS: 50 petani ditahan di ibu negara Perancis semalam selepas memecah masuk bangunan Kementerian Pertanian, sebagai protes terhadap tindak balas kerajaan berhubung rungutan sektor itu.
Sejak Disember, petani mengadakan protes dan mengadakan sekatan jalan raya berhubung pengendalian kerajaan terhadap wabak penyakit kulit pada ternakan lembu, selain ketidakpuasan hati meluas mengenai dasar pertanian Perancis.
Walaupun Perdana Menteri, Sebastien Lacornu, berjanji untuk mengemukakan ‘rang undang-undang kecemasan’ bagi membantu meringankan masalah mereka, sebahagian petani terus menutup jalan dan mengadakan demonstrasi pada Rabu, dengan tindakan sporadis dirancang pada Khamis.
Kira-kira 100 anggota kesatuan Konfederasi Paysanne memasuki sebahagian bangunan kementerian itu dan berada selama sejam untuk mengecam dasar pertanian kerajaan.
Polis berkata, 50 individu ditangkap kerana ‘mengganggu ketenteraman awam’ serta beberapa kesalahan jenayah.
Kesatuan Konfederasi Paysanne melaporkan 52 individu berada dalam tahanan polis dan menggesa orang ramai berkumpul di hadapan balai polis di utara Paris untuk mengecam ‘penghinaan berterusan’ kerajaan terhadap petani.
“Kementerian Pertanian membuat aduan terhadap tindakan aman yang dijalankan tanpa sebarang keganasan,” kata kesatuan itu dalam satu kenyataan, sambil menuntut pembebasan aktivisnya.
RUU yang dijangka dibentangkan bulan depan, akan memfokuskan kepada beberapa keutamaan termasuk air dan sumber pengeluaran.
Bagaimanapun, kesatuan menentang RUU itu, dengan alasan ia tidak mencukupi untuk memenuhi tuntutan mereka.- AFP










