400 penduduk bantah ladang babi

400 penduduk bantah ladang babi

LEBIH 200 penduduk berhimpun secara aman bagi menyuarakan bantahan terhadap pembinaan ladang babi berpusat di Bukit Tagar, dekat Felda Sungai Tengi Selatan, Hulu Selangor, Selangor, semalam. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Kira-kira 400 penduduk dan individu dari pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun di dua lokasi bagi menyatakan bantahan pembinaan ladang babi berpusat di Bukit Tagar, di sini.

Perhimpunan secara aman itu diadakan hadapan pintu masuk utama Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam dan di Felda Sungai Tengi Selatan di Hulu Selangor.

Di hadapan pintu gerbang tanah rancangan itu, hampir 300 penduduk berhimpun secara aman bagi menyuarakan bantahan terhadap pembinaan ladang babi berpusat yang didakwa mereka terletak kurang 12 kilometer (km) dari kawasan perumahan Felda.

Menurut seorang warga Felda Sungai Tengi Selatan, Abdul Wahab Samad, 71, penduduk di sana mengharapkan fasiliti kesihatan yang lebih baik kerana perjalanan ke hospital terdekat pun ambil masa lebih satu jam.

“Dari sini hendak ke hospital terdekat adalah di Kuala Kubu Baharu dan juga Slim River, perjalanannya lebih sejam melalui lebuh raya di susur Bukit Tagar, lalulah tempat yang dikatakan hendak bina ladang babi.

“Buat apa buat ladang babi, bukan ada manfaat kepada penduduk di sini, lagi menambah masalah dengan bau dan pencemaran lagi. Usah kata risiko, le­bih baik batalkan terus hasrat itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Jelas seorang anak peneroka, Datuk Mohamad Khairuddin Mo­hamad, kawasan Bukit Tagar amat tidak sesuai dibina ladang babi kerana terdapat infrastruktu asas seperti loji rawatan air di sepanjang Sungai Selangor.

“Selain ada perumahan dan penempatan penduduk yang ma­joriti Melayu, tidak jauh dari situ ada Universiti Selangor (Uni­sel), ladang lembu tenusu yang baru dirasmikan oleh kerajaan,” tambahnya.

Di Shah Alam, lebih 100 individu berhimpun bagi menghantar memorandum bantahan pembinaan ladang ternakan itu kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Presiden, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali berkata, ia seharusnya ditempatkan di kawasan yang majoritinya penduduk merupakan pemakan daging ternakan itu.

“Jika mahu diusahakan juga, biarlah di kawasan majoriti penduduk pemakan daging babi. Justeru, kami membantah keputusan kerajaan negeri untuk memindahkan ladang babi ke Bukit Tagar kerana ia akan menjejaskan kehidupan penduduk yang majoritinya beragama Islam.

“Kami tidak akan berkompromi sekiranya kawasan penempatan orang Melayu dijadikan sasaran dan akan terus membantah jika rancangan ini diteruskan,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN