PARIS: 10 individu didapati bersalah oleh mahkamah di Paris atas kesalahan buli siber terhadap isteri Presiden Perancis, Brigitte Macron.
Tertuduh didakwa menyebarkan dakwaan palsu mengenai jantina dan seksualiti Brigitte, selain membuat kenyataan berniat jahat berkaitan jurang umur 24 tahun antara beliau dan suaminya.
Kebanyakan tertuduh dijatuhi hukuman penjara tertangguh sehingga lapan bulan, manakala seorang lagi dipenjarakan serta-merta kerana gagal hadir ke mahkamah.
Beberapa tertuduh turut dikenakan tindakan penggantungan akaun media sosial.
Hakim memutuskan lapan lelaki dan dua wanita terbabit bertindak dengan niat jelas untuk membuli Brigitte, dengan mengeluarkan kenyataan dalam talian yang bersifat menghina dan menjejaskan maruah.
Dua daripada tertuduh iaitu wartawan bebas yang menggelarkan dirinya Natacha Rey dan tukang tilik internet, Amandine Roy sebelum ini didapati bersalah terhadap kes fitnah pada 2024 kerana mendakwa isteri Presiden Perancis itu tidak pernah wujud.
Mereka mendakwa abang Brigitte Macron, Jean-Michel Trogneux, menukar jantina dan menggunakan namanya. Namun, kedua-dua kemudiannya dibebaskan melalui proses rayuan.
Mahkamah rayuan memutuskan kenyataan seseorang menukar jantina tidak semestinya dianggap sebagai serangan terhadap maruah. Keluarga Macron kini membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan Tertinggi.
“Perkara paling penting ialah pencegahan dan penggantungan beberapa akaun pelaku,” kata peguam Brigitte Macron, Jean Ennochi, selepas keputusan mahkamah diumumkan, menurut agensi berita AFP.
Tiphaine Auzière, anak Brigitte hasil perkahwinan terdahulu sebelum ini memberitahu mahkamah buli siber tersebut memberi kesan negatif terhadap kesihatan dan kehidupan seharian ibunya.
Beliau berkata, ibunya terpaksa lebih berhati-hati dalam memilih pakaian dan gaya berdiri kerana beliau sedar imejnya akan digunakan untuk menyokong teori-teori tersebut.
Keputusan mahkamah di Perancis pada Isnin itu dilihat sebagai pendahulu kepada satu perbicaraan yang lebih besar di AS di mana pasangan Macron telah memfailkan saman fitnah terhadap pempengaruh berhaluan kanan, Candace Owens yang turut menyebarkan teori konspirasi mengenai jantina wanita pertama Perancis itu.- BBC










