PETALING JAYA: Yayasan PEKEMA terus komited menyantuni golongan kurang berkemampuan menerusi Program Kembali ke Sekolah 2026, dengan menyasarkan seramai 10,000 pelajar di seluruh Semenanjung Malaysia menerima manfaat sepanjang tahun hadapan.
Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu bertujuan meringankan beban kewangan keluarga berpendapatan rendah, melalui sumbangan beg sekolah dan kelengkapan persekolahan asas, selain menyuntik semangat serta keyakinan diri murid untuk memulakan persekolahan dengan lebih positif.
Presiden PEKEMA, Datuk Haji Mohamed Nazari Noordin berkata, program itu bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya melambangkan komitmen berterusan PEKEMA dan Yayasan PEKEMA untuk melaksanakan inisiatif yang memberi impak langsung kepada masyarakat.
“Menjelang sesi persekolahan baharu, masih ramai ibu bapa dan penjaga berdepan cabaran kewangan. Justeru, sumbangan ini diharap dapat meringankan beban mereka, di samping menyemai kesedaran bahawa pendidikan ialah aset terpenting dalam membina masa depan negara,” katanya.
Bagi pelaksanaan di Zon 10 Majlis Perbandaran Selayang (MPS), seramai 500 pelajar sekolah rendah dan menengah dari kawasan Selayang dipilih sebagai penerima manfaat menerusi program yang berlangsung di Dewan Sri Siantan, Jalan Sungai Tua.
Program berkenaan dianjurkan Yayasan PEKEMA dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Zon 10 MPS serta Kelab Sukan dan Rekreasi PEKEMA (KRESMA), mencerminkan keprihatinan berterusan PEKEMA terhadap kebajikan dan pendidikan masyarakat setempat.
Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan dengan kehadiran Anfaal Saari, Exco Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Selangor merangkap Ahli Dewan Negeri Taman Templer, bersama barisan kepimpinan PEKEMA, wakil agensi kerajaan, rakan strategik serta penerima manfaat.
Mengulas lanjut, katanya lagi, sebagai organisasi yang mewakili pemain industri automotif Bumiputera, PEKEMA bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan keusahawanan, malah menitikberatkan kebajikan, pendidikan serta kesejahteraan masyarakat.
Sementara itu, Ahli Majlis Zon 10 MPS, Ahmad Zahiri Zahid Sofian berkata, kolaborasi antara Yayasan PEKEMA, Pusat Khidmat Masyarakat Zon 10 MPS dan KRESMA membuktikan komitmen pelbagai pihak dalam memastikan kebajikan masyarakat setempat terus diberi keutamaan.
“Sebagai Ahli Majlis Zon 10, saya komited memastikan program seperti ini berterusan agar bantuan kebajikan dan sokongan pendidikan sampai kepada golongan memerlukan, khususnya pelajar. Usaha ini penting untuk menyokong pembangunan generasi muda yang berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya.-UTUSAN










