Usul undi tidak percaya boleh dibawa ke Mesyuarat Agung Khas

Usul undi tidak percaya boleh dibawa ke Mesyuarat Agung Khas

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebarang gera­kan yang mahu mencabar kedudukan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, termasuk usul undi tidak percaya, boleh dibawa ke Mesyuarat Agung Khas (EGM) mengikut peruntukan perlembagaan parti.

Veteran Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof menegaskan bahawa parti mempunyai saluran yang sah dan jelas untuk mana-mana pihak mengemukakan bantahan terhadap kepemimpinan sedia ada.

“Jika mereka mendakwa mempunyai sokongan, kita tetap berpaksikan kepada Perlembagaan parti. Kalau benar mereka ada kekuatan, mengapa tidak dibawa melalui saluran yang betul? Tidak salah pun jika mereka mahu berbuat demikian.

“Jika benar ada kemampuan dan sokongan, saya cadangkan supaya perkara itu dibawa ke Mesyuarat Agung Khas, termasuk jika mereka mahu mengemukakan usul mendesak Tan Sri Muhyiddin berundur,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah beliau, Perlembagaan parti jelas membenarkan proses tersebut dan ia tidak akan dihalang oleh mana-mana hubungan atau dinamika dalaman parti.

“Tengok sahaja Perlembagaan, memang tiada masalah. Kita sangat terbuka. Hubungan dalaman parti juga tidak akan menghalang sesiapa daripada mengadakan Mesyuarat Agung kerana EGM adalah proses sah mengikut Perlembagaan dan turut dipantau oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS),” katanya.

Mengulas mengenai kekalahan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, beliau berkata, tanggungjawab pengurusan pilihan raya diamanahkan kepada Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan pimpinan Negeri.

Beliau berkata, parti sebenarnya telah membuat ketetapan supaya PN bertanding mengikut kemampuan.

“Namun, Hamzah sanggup memikul tanggungjawab untuk meletakkan calon sebanyak mungkin sehingga mencecah 41 kerusi.

“Itu dibuat tanpa persetujuan konsensus parti. Di situlah wujud perbezaan pendapat me­ngenai peranan masing-ma­sing,” katanya.

Menurut beliau, ketetapan asal parti adalah untuk bertan­ding sekitar lapan hingga 12 kerusi sahaja, dengan maksimum 15 kerusi.

“Bagaimanapun, pimpinan negeri Sabah dan Timbalan Presiden melihat dinamika politik yang mereka anggap berpotensi membawa kemenangan lebih besar, lalu mencadangkan jumlah kerusi yang jauh lebih banyak walaupun akhirnya keputusan itu tidak membuahkan hasil seperti dijangka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×