Ulama Pas Perlis dedah perkara penting disebalik kemelut politik Perlis - Utusan Malaysia

Ulama Pas Perlis dedah perkara penting disebalik kemelut politik Perlis

Ahmad Adnan Fadzil.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Ketua Dewan Ulama Pas negeri, Ahmad Adnan Fadzil tampil melakukan pendedahan cukup penting mengenai apa sebenarnya yang berlaku sehingga membawa kepada kemelut politik di Perlis dan saat-saat paling genting penentuan jawatan Menteri Besar.

Katanya, punca utama kemelut tersebut adalah kegagalan pihak sepatutnya berperanan untuk melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

Dedah beliau, kegagalan berunding secara berkesan dengan pihak istana bagi pihak Pas, setelah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail memaklumkan hasrat untuk menukar Menteri Besar yang menyebabkan Raja Perlis terpaksa bertindak menggunakan budi bicara baginda sepenuhnya.

Ahmad Adnan juga kekal dengan pendirian bahawa tiada unsur pengkhianatan dalam polemik semasa yang melibatkan kepimpinan Pas Perlis termasuk tiga orang wakil rakyat yang dihentikan keahlian.

Ia termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang tidak terlibat langsung dalam kemelut itu.

“Dokumen yang ditandatangani itu (disebut-sebut SD) bukan dibuat di luar dan kemudian dibawa menghadap Tuanku Raja Perlis sebaliknya ditandatangani di hadapan Raja Perlis sendiri. Kejadian ini tidak akan berlaku sekiranya pihak yang diamanahkan memainkan peranan dengan sebaiknya sejak awal.

“Saya juga dimaklumkan bahawa pada saat-saat terakhir sebelum pengisytiharan Menteri Besar baharu daripada Bersatu, Tuanku Raja masih membuka peluang untuk Menteri Besar tersebut datang daripada Pas. Namun, ADUN-ADUN Pas gagal memainkan peranan sewajarnya apabila diajukan pilihan oleh Tuanku Raja Perlis.

“Saya turut difahamkan bahawa tiada sebarang bai‘ah ditandatangani oleh calon-calon Pas Perlis semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Perkara ini wajar disiasat dan diperjelaskan secara telus. Oleh itu, dalam kemelut ini, meletakkan keseluruhan kesalahan ke atas Bersatu adalah tidak adil.

“Risikonya ialah tercetus desakan-desakan yang tidak perlu, termasuk peletakan jawatan yang juga sebenarnya boleh dielakkan,” katanya di sini hari ini.

Katanya, penulisan ini bukan lagi sekadar bertujuan mendamaikan, tetapi untuk membuka mata dan hati semua agar melihat perkara yang benar dengan lebih jujur dan adil.

Ujar beliau, tiada sesiapa yang perlu meletakkan jawatan sebaliknya ambillah kembali amanah yang ada, nilai semula kesilapan yang berlaku dan lakukan pembetulan.

“Itulah jalan yang lebih matang dan bertanggungjawab. Rentetan daripada itu, kerajaan Perlis juga wajar terus ditadbir seperti sebelumnya, iaitu oleh Perikatan Nasional (PN) dengan barisan Exco daripada gabungan Pas dan Bersatu dengan perubahan hanya melibatkan jawatan Menteri Besar sahaja.

“Pilihan Raya Kecil (PRK) wajar dielakkan, kerana dalam keadaan kemelut yang sedang berlaku, PN berdepan kesukaran untuk meraih kemenangan buat masa ini,” katanya.

Sementara itu, katanya, Pas belum menang dengan kekuatan sendiri sepenuhnya meskipun kuat daripada jentera dan akar umbi.

Katanya, masih ada beberapa kekuatan penting yang belum dimiliki sepenuhnya iaitu antaranya keyakinan sebahagian rakyat dan faktor kemesraan politik.

“Justeru, kemenangan Pas selama ini banyak dibantu oleh faktor calon, kelemahan parti lawan serta polemik isu semasa. Atas sebab itu, Pas memerlukan gabungan bagi menampung kekurangan tersebut.

“Buat masa ini, gabungan paling ideal ialah bersama Bersatu. PN wajar dikekalkan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN