UK kritik kelewatan bantuan masuk ke Gaza

UK kritik kelewatan bantuan masuk ke Gaza

PELARIAN Palestin memeriksa keadaan khemah mereka selepas hujan lebat di Jabalia, utara Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Kerajaan United Kingdom (UK) mengkritik kelewatan kemasukan bantuan ke Gaza selepas penghantaran 1,100 khemah ke wilayah itu mengambil masa lebih setahun untuk sampai.

Setiausaha Luar, Yvette Cooper turut menyuarakan kebimbangan bantuan lain yang dibiayai UK masih tidak dapat disalurkan kepada penduduk, meskipun gencatan senjata antara Hamas dan Israel sedang berkuat kuasa.

Beliau berkata, situasi di Gaza kekal ‘kritikal’, ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran 1.5 juta orang memerlukan tempat perlindungan segera berikutan hujan yang semakin buruk serta suhu menjunam menjelang musim sejuk.

Khemah tersebut, mampu menempatkan lima sekeluarga, tiba di Gaza pada Isnin, dengan lebih banyak dijangka sampai minggu ini.

Sumber kerajaan berkata, khemah tersebut akan menyediakan tempat perlindungan kepada 12,000 orang sepanjang musim sejuk.

Cooper berkata, kelewatan membawa masuk bantuan ke wilayah itu tidak boleh dibiarkan berterusan dan semua lintasan masuk ke kawasan tersebut perlu dibuka bagi membolehkan akses kemanusian tanpa sekatan.

“Situasi di Gaza kekal genting, dengan keadaan cuaca yang semakin buruk menjejaskan lagi masalah kritikal akibat infrastruktur yang rosak serta lebih dua tahun konflik.

“Ibu bapa cuba melindungi anak-anak mereka di bawah bumbung yang rosak dan di bawah langit terbuka.

“Khemah-khemah ini akan menjdi penyelamat kepada ribuan orang yang memerlukan tempat berteduh, melindungi mereka daripada sejuk dan hujan tanpa henti yang menukar runtuhan menjadi lumpur,” katanya.

Menurut PBB, kira-kira 1.9 juta penduduk Gaza, hampir 90 peratus daripada populasi, hilang tempat tingga; sejak konflik Israel-Hamas bermula pada Oktober 2023.

Perwakilan Khas UNICEF ke Palestin, Jonathan Veitch berkata, ketibaan khemah itu mencerminkan usaha berterusan komuniti antarabangsa untuk mendesak akses bantuan yang lebih besar.

“Keadaan di Gaza amat menyayat hati ketika cuaca sejuk dan hujan lebat terus menjejaskan keluarga yang hidup dalam keadaan sangat sukar.

“Walaupun terdapat gencatan senjata, kehidupan seharian masih sangat mencabar bagi kanak-kanak di Gaza,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN