SUNGAI PETANI: Seorang tukang masak maut selepas kereta yang dinaiki bersama rakan sekerjanya dipercayai terbabas ke dalam sungai di Jalan Pengkalan, tengah malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 12.50 tengah malam itu, mangsa, Loo Eng Huat, 34, yang memandu kereta jenis Toyota Vios meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kenderaan terbabit dipercayai terlanggar besi penghadang jambatan sebelum terbabas dan terjatuh ke dalam sungai.
“Mangsa dikatakan tenggelam bersama kereta di dalam sungai berkenaan manakala rakannya sempat keluar menyelamatkan diri,” katanya.
Ujar beliau, mayat dihantar untuk bedah siasat di Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) manakala rakannya diberikan rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
habis. – UTUSAN










