WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) meningkatkan tekanan terhadap Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, dengan memperluaskan sekatan dan mengeluarkan ancaman baharu untuk menyerang sasaran darat negara itu.
Langkah tersebut dibuat ketika diktator Amerika Selatan itu menuduh Presiden Donald Trump mencetuskan ‘era lanun maritim jenayah’ di Caribbean.
Dalam tindakan terbaharu pada Khamis, AS mengenakan sekatan ke atas tiga anak saudara isteri Maduro, Cilia Flores, serta enam kapal tangki minyak mentah dan syarikat perkapalan yang dikaitkan dengan mereka.
Jabatan perbendaharaan mendakwa, kapal itu terlibat dalam amalan perkapalan yang mengelirukan dan tidak selamat, selain terus menyediakan sumber kewangan kepada rejim pengganas Maduro.
Dokumen dalaman syarikat minyak negara PDVSA menunjukkan kapal terbabit baru-baru ini memuatkan minyak mentah di Venezuela.
Empat daripadanya berdaftar di Panama, manakala dua lagi membawa pendaftaran Kepulauan Cook dan Hong Kong.
Dalam kenyataan kelmarin, Trump mengulangi ancamannya untuk melancarkan serangan terhadap penghantaran narkotik yang disyaki melalui darat dari Venezuela ke AS.
Kenyataan itu dibuat selepas AS menahan sebuah kapal tangki ‘armada gelap’ bernama Skipper di luar pantai Venezuela, sekali gus mencetuskan kebimbangan beberapa ahli Kongres AS Trump mungkin tanpa sedar sedang menjerumuskan negara ke arah perang dengan Venezuela.
“Mereka menculik anak kapal, mencuri kapal dan mengisytiharkan era baharu, era lanun maritim jenayah di Caribbean. Venezuela akan melindungi semua kapalnya bagi memastikan perdagangan bebas minyak di seluruh dunia,” kata Maduro dalam acara presiden, kelmarin.
Setiausaha akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt berkata, kapal Skipper akan dibawa ke pelabuhan AS dan Washington sememangnya berhasrat untuk merampas minyak tersebut.
“Namun, terdapat proses undang-undang bagi pelaksanaan rampasan itu, dan proses tersebut akan dipatuhi,” katanya dalam satu taklimat.- THE GUARDIAN










