MACHANG: Kegagalan pemadu kereta Proton Wira memotong sebuah kenderaan di hadapannya dipercayai menjadi punca kepada kemalangan membabitkan trak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sehingga mengorbankan nyawa anggota pasukan itu semalam.
Dalam kejadian pukul 6.35 petang itu di Kilometer 37.8 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai berhampiran Bukit Belah turut menyebabkan empat lagi mangsa termasuk pemandu Proton Wira parah.
Ketua Polis Daerah Machang Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, siasatan awal mendapati trak ATM yang dinaiki empat anggota dari arah Tanah Merah menghala balik ke Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas.
Katanya, setiba di lokasi kereta Proton Wira dipercayai sedang kenderaan lain dihadapannya lalu masuk ke laluan bertentangan menyebabkan trak ATM tidak sempat mengelak.
“Akibatnya, trak seberat tiga tan itu telah bertembung dengan kereta tersebut.
“Kesan pertembungan itu menyebabkan salah seorang penumpang hadapan trak berkenaan maut di lokasi kejadian. Tiga lagi anggota ATM dan pemandu kereta telah dihantar ke Hospital Machang untuk rawatan awal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Shafiki memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Fatin Nurhanis Ibrahim di talian 011-1454020 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang di 09-9751222 bagi membantu siasatan.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, seorang anggota maut manakala tiga lagi rakan cedera selepas trak lima tan yang mereka naiki terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Bukit Belah di sini petang tadi.
Dalam kejadian sekitar 6.50 petang itu, kesemua identiti mangsa yang terlibat termasuk maut masih belum dikenal pasti.–UTUSAN










