PETALING JAYA: Semua pihak diminta tidak mengeruhkan keadaan atau mencetuskan ketegangan susulan keputusan mahkamah berkaitan isu Titah Adendum bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diputuskan semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu berkenaan wajar ditangani dengan penuh kesabaran dan kebijaksanaan memandangkan situasi semasa yang sensitif, selain menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman.
Katanya, Kerajaan Madani kekal berpegang kepada prinsip pengasingan kuasa dan menegaskan bahawa badan kehakiman mesti terus bebas daripada sebarang pengaruh luar.
“Badan kehakiman mesti dan akan terus bebas daripada sebarang pengaruh luar. Atas prinsip inilah saya menghormati keputusan yang telah dibuat oleh hakim.
“Maka, atas prinsip kedaulatan undang-undang, semua pihak wajar menghormati keputusan yang telah dibuat oleh hakim, termasuk ruang dan saluran perundangan yang masih tersedia untuk mengemukakan rayuan, selain kepada Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan peruntukan undang-undang yang ada,” katanya dalam kenyataan semalam.
Kelmarin Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching memutuskan Titah Adendum yang membenarkan Najib untuk menghabiskan baki hukumannya di rumah sebagai tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan
Ekoran itu Najib perlu menghabiskan baki hukuman penjara atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. di Penjara Kajang dan bukannya di rumah.
Yee Ching memutuskan demikian selepas berpuas hati isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah disebut, dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.
Memperincikan penghakimannya, Yee Ching berkata Titah Adendum itu tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan bagi maksud menjalani tahanan rumah di negara ini.
Bagaimanapun, perbalahan timbul apabila beberapa pemimpin DAP termasuk Setiausaha Publisiti DAP memuat naik hantaran ‘Another reason to celebrate this year end’ (satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini) bersama pautan berita portal bertajuk ‘No house arrest for Najib (Tiada tahanan rumah untuk Najib).
Ekoran itu, pemimpin UMNO menegur tindakan Bee Yin antaranya Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh. – UTUSAN








