KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memaklumkan tiada Exco negeri ini yang menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk ‘meminta kelulusan’ sebagaimana yang telah didedahkan semasa sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, semalam.
Timbalan Menteri Besar Datuk Dr. Fadzli Hassan berkata, perkara tersebut menjadi sebahagian daripada perkara yang dibincangkan menerusi mesyuarat Exco hari ini.
Katanya, semasa mesyuarat itu berlangsung beliau dimaklumkan tidak ada EXCO yang menghantar surat ‘minta kelulusan’ dengan menyebut nama syarikat secara spesifik untuk cadangan kelulusan.
“Saya tidak boleh mengulas lanjut perkara ini kerana, kita (kerajaan negeri) tidak melihat surat yang didedahkan oleh Perdana Menteri.
“Untuk memberi ulasan lanjut, saya saya perlu melihat terlebih dahulu surat berkenaan dan ianya dalam konteks yang bagaimana,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat EXCO di Kota Darulnaim hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, Perdana Menteri mendedahkan terdapat surat daripada Kelantan dan Terengganu yang secara jelas mencadangkan syarikat diberikan peranan dalam projek tertentu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, surat yang diterima dari Terengganu itu melibatkan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Luar Bandar Terengganu dan Exco Kelantan.
“Ada satu surat saya terima yang tertera ‘mohon Datuk Seri pertimbang kelulusan ke atas perolehan secara rundingan terus’. Ini tidak boleh. Selain itu ada juga satu surat yang tertera ‘pihak kami cadangkan syarikat tersebut sebagai syarikat yang menguruskan projek berkenaan’.
“Surat ini satu dari Kelantan dan satu dari Terengganu,” katanya dalam pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat.-UTUSAN










