Thailand percepat pilihan raya elak kemelut politik berulang

Thailand percepat pilihan raya elak kemelut politik berulang

PENGUNDI membuang undi semasa pilihan raya Pertubuhan Pentadbiran Wilayah (PAO) Thailand di Narathiwat pada 1 Februari lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn, memperkenankan dekri pembubaran Parlimen, sekali gus membuka jalan untuk pilihan raya awal yang perlu diadakan dalam tempoh 45 hingga 60 hari, menurut Warta Diraja pada 12 Disember.

Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul pada Khamis berkata, beliau ‘memulangkan kuasa kepada rakyat’ dengan mengambil langkah membubarkan Parlimen dan mempercepatkan proses pilihan raya lebih awal daripada jangkaan.

Jurucakap kerajaan, Siripong Angkasakulkiat, memberitahu Reuters langkah itu dibuat susulan perbezaan pendapat dengan blok terbesar di Parlimen, iaitu pembangkang Parti Rakyat.

“Ini berlaku kerana kita tidak boleh meneruskan di Parlimen. Apabila Parti Rakyat tidak mendapat apa yang mereka mahukan, mereka akan mengemukakan usul undi tidak percaya dan meminta Perdana Menteri membubarkan Parlimen serta-merta,” kata Siripong.

Sementara itu, Ketua Parti Rakyat, Nathhaphong Ruengpanyawut memberitahu pemberita kelmarin, Parti Bhumjaithai tidak mematuhi syarat perjanjian mereka.

“Kami berusaha menggunakan suara pembangkang untuk mendesak pindaan Perlembagaan,” kataya.

Kemelut politik itu berlaku serentak dengan hari kelima konflik sempadan Thailand-Kemboja, yang meragut sekurang-kurangnya 20 nyawa dan mencederakan hampir 200 orang.

Anutin memberitahu pemberita pada 10 Disember, pembubaran Parlimen tidak akan menjejaskan operasi ketenteraan Thailand di kawasan sempadan, tempat pertempuran tercetus di lebih 12 kawasan, termasuk insiden membabitkan pertukaran tembakan artileri berat.

Beliau merupakan Perdana Menteri ketiga Thailand sejak Ogos 2023, dan ketidakstabilan politik kini menjejaskan ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara, yang sedang bergelut tarif Amerika Syarikat (AS), hutang isi rumah tinggi serta penggunaan yang lemah.

September lalu, Anutin merancang membubarkan Parlimen menjelang akhir Januari, dengan pilihan raya umum dijadualkan pada Mac atau awal April, namun langkah terbaharu itu mempercepatkan garis masa tersebut.

Anutin mengambil alih pentadbiran selepas menarik parti Bhumjaithai keluar daripada gabungan pemerintah dan mendapat sokongan Parti Rakyat, yang mengemukakan beberapa tuntutan, termasuk referendum pindaan Perlembagaan, sebagai syarat untuk menyokong beliau.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN