MARANG: Pengambilan semula tanah dan pengagihan utiliti antara cabaran utama pelaksanaan projek menaik taraf jambatan merentasi Sungai Marang, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, di sini yang membabitkan peruntukan sebanyak RM339 juta.
Projek yang dimulakan sejak Disember 2021 melibatkan jajaran sejauh 2.5 kilometer merentasi Sungai Marang itu kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 62.37 peratus dan dijangka siap pada Mac 2027.
Ia merangkumi pembinaan jambatan sepanjang kira-kira 220 meter dan jejambat merentasi bandar Marang sepanjang 680 meter serta kerja menaik taraf jalan sejauh 1.5 kilometer menerusi kaedah reka dan bina.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Hanafiah Mat berkata, terdapat beberapa cabaran yang memberi kesan kepada pelaksanaan projek khususnya berkaitan pengambilan balik tanah dan pengalihan utiliti.
Kata beliau, proses pengambilan tanah sedang diteruskan sehingga selesai sepenuhnya manakala kerja-kerja pengalihan utiliti pula sedang dilaksanakan secara berperingkat di tapak dan akan dipercepat sebaik sahaja isu pengambilan tanah dimuktamadkan.
“Kerajaan negeri melalui agensi pelaksana dan jabatan teknikal berkaitan terus memantau rapi pelaksanaan projek ini termasuk aspek kemajuan fizikal, kewangan, keselamatan tapak dan pengurusan trafik bagi memastikan segala isu dapat ditangani secara berkesan serta berhemah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Hanafiah, perbelanjaan sebenar adalah 58.27 peratus yang hampir menyamai unjuran iaitu 58.29 peratus sekali gus menunjukkan pengurusan kewangan projek berada dalam keadaan terkawal dan berdisiplin
“Sehingga Disember 2025, jumlah perbelanjaan sebenar yang direkodkan adalah sebanyak RM197.071 juta, berbanding unjuran RM197.142 juta dengan perbezaan yang minimum dan tidak menjejaskan kedudukan kewangan keseluruhan projek.
“Dari segi pelaksanaan di tapak, kerja-kerja utama yang sedang dan telah dilaksanakan merangkumi antaranya pembinaan struktur jambatan baharu kerja-kerja pembinaan jejambat, menaik taraf jalan sedia ada dan pemasangan sistem perparitan,” katanya.-UTUSAN.










