Tahun 2026 Kerajaan Madani melangkah lebih berani

Tahun 2026 Kerajaan Madani melangkah lebih berani

ANWAR Ibrahim menyampaikan taklimat kepada ketua-ketua pengarang media tempatan dan antarabangsa di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan akan melangkah dengan lebih berani mulai tahun hadapan, termasuk dalam aspek pe­nguatkuasaan serta menangani isu-isu berkaitan bahasa dan kaum yang selama ini dianggap sensitif atau kontroversi.

Perdana Menteri berkata, selepas hampir tiga tahun memastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan, sudah tiba masanya kerajaan berdepan isu tertangguh secara lebih tegas demi kepentingan rakyat dan negara.

Katanya, dalam tempoh hampir tiga tahun ini, kerajaan berada dalam keadaan stabil walaupun sebelum ini wujud kebimbangan mengenai ketidakstabilan politik.

Menurut Anwar, dalam tempoh tersebut kerajaan telah mula memperkenalkan beberapa undang-undang penting yang menjurus kepada Akta Tanggungjawab Fiskal, rasionalisasi subsidi dan pembaharuan institusi.

“Saya berpendapat, mulai tahun hadapan, sudah tiba masanya untuk kita melangkah dengan lebih berani.

“Isu-isu tertangguh yang selama ini dianggap sensitif atau kontroversi perlu ditangani dengan lebih tegas dan berani,” katanya ketika taklimat media bersama ketua-ketua pe­ngarang media tempatan dan antarabangsa di sini, semalam.

Anwar berkata, langkah ke­depan kerajaan selepas ini me­rangkumi keberkesanan agensi penguat kuasa, ketegasan dalam mengambil tindakan serta memastikan semua pro­ses dan peraturan dipatuhi tanpa kompromi.

“Sebab itu saya berbangga dengan langkah yang diambil baru-baru ini, yang jarang berlaku sebelum ini, apabila pegawai kanan negara diambil tindakan sementara, tanpa sebarang usaha melindungi salah laku jenayah besar,” katanya.

Anwar menegaskan, kete­gasan dalam siasatan, pendakwaan dan proses semakan pen­ting bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi negara termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan agensi lain.

“Bukan sahaja pelaksanaan perlu tegas dan berkesan, malah proses itu juga mesti dihormati,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan tidak boleh tunduk kepada naratif songsang atau suara-suara sumbang berkaitan isu kaum dan agama yang boleh menggugat kestabilan negara.

Katanya, dalam isu-isu ber­kaitan kaum, bahasa dan ekonomi, kerajaan juga perlu berdepan dengan lebih tegas dan tidak berlapik.

“Kita tidak boleh terus bermain dengan sentimen perkauman atau agama yang akhirnya menghalang kemajuan negara,” katanya.

Mengulas isu bahasa, Anwar menegaskan komitmen kerajaan untuk memperkukuh Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, tanpa menafikan kepentingan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain.

Jelasnya, Tahun 2026 bukan tahun 1950-an yang mana hidup dalam dunia global, dan penguasaan pelbagai bahasa adalah satu keperluan.

“Bahasa Inggeris penting, begitu juga bahasa Cina, Tamil atau Arab. Namun, komitmen untuk memperkukuh Bahasa Melayu mesti kekal sebagai asas kepada identiti dan perpaduan negara,” katanya.

Berhubung isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), Anwar menegaskan, perkara itu sering dipolitikkan sedangkan pendiriannya konsisten sejak dahulu.

Katanya, UEC bukan isu utama, dan bukan soal menolak atau menerima semata-mata, tetapi melihatnya dalam konteks lebih luas iaitu bersandarkan sejarah negara, sistem pendidikan nasional dan keperluan memperkukuh bahasa kebangsaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×