KOTA BHARU: Suami yang bertindak menikam isterinya menggunakan sebilah pisau dalam kejadian di Kampung Paku, Gual Ipoh, Tanah Merah dekat sini semalam bebas daripada pengaruh dadah.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, ia hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati suspek berusia 63 tahun negatif dadah.
“Suspek juga seorang yang normal dan tidak mempunyai masalah mental,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, pihak polis tidak menolak kemungkinan kes tersebut bermotifkan cemburu.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan.
“Suspek dalam keadaan yang marah terlampau sehingga bertindak menikam isterinya. Kita boleh kata kejadian ini bermotifkan cemburu dan suspek mengesyaki isterinya mempunyai lelaki lain.
“Hasil pemeriksaan ke atas mayat mangsa mendapati, dia telah ditikam dengan satu tikaman di badan sehingga mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” ujarnya.
Utusan Online hari ini melaporkan, seorang lelaki yang disyaki membunuh isterinya menggunakan pisau di sebuah rumah di Kampung Paku, Gual Ipoh di sini direman selama enam hari bermula hari ini.
Permohonan reman tersebut dibenarkan oleh Majistret Tun Faez Fikhrie Tun Asrul Saini selepas lelaki berusia 63 tahun itu dibawa ke mahkamah kira-kira pukul 9.25 pagi ini.
Tahanan reman itu bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.-UTUSAN










