Star tidak sertai kerajaan campuran Hajiji

Star tidak sertai kerajaan campuran Hajiji

JEFFREY G.KITINGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (Star) mengesahkan tidak menyertai kerajaan diterajui parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Presiden Star, Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan berkata, pendirian parti itu kekal tidak berubah dengan Sabah perlu ditadbir oleh parti tempatan tanpa bergantung kepada pengaruh politik dari Semenanjung.

“Pendirian kami kekal tidak berubah, Sabah mesti ditadbir oleh parti-parti tempatan Sabah, bukan oleh gabungan yang bergantung kepada pengaruh yang berpangkalan di Tanah Melayu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan diterajui Hajiji kini mendapat sokongan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Mengulas pelantikan ADUN Bingkor, Datuk Mohd Ishak Ayub dari Star sebagai Pembantu Menteri, Jeffery berkata, ia adalah pelantikan terus oleh Ketua Menteri.

“Ia bukan jawatan yang dirundingkan oleh Parti. Beliau adalah wakil rakyat yang dipilih untuk Bingkor dan kami menghormati hak beliau dalam menerima peranan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, Star kini bertindak sebagai pembangkang yang bertanggungjawab, namun menyokong dasar-dasar yang melindungi Sabah.

“Kami akan menentang sebarang langkah yang menjejaskan MA63, Perlembagaan, atau perjuangan panjang untuk Sabah demi rakyat Sabah.

“Pendirian kami adalah konsisten dan teguh. Kami menyokong kerajaan negeri yang dibentuk sepenuhnya oleh parti-parti tempatan Sabah.

“Apa-apa yang kurang daripada itu melemahkan kuasa tawar-menawar dan masa depan Sabah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN