COLOMBO: Hujan lebat mencetuskan amaran tanah runtuh baharu di kawasan tinggi tengah Sri Lanka pada Jumaat, ketika angka kematian akibat Taufan Ditwah minggu lalu meningkat lebih 600 orang.
Pertubuhan Penyelidikan Bangunan Kebangsaan, yang memantau kestabilan lereng gunung, memaklumkan hujan berterusan dalam tempoh 24 jam terakhir boleh menenggelamkan bukit dan menjadikannya tidak stabil.
“Jumlah hujan dalam tempoh 24 jam lalu melebihi 150mm. Jika hujan masih berterusan, penduduk dinasihatkan segera berpindah ke lokasi selamat bagi mengelakkan risiko tanah runtuh,” menurut kenyataan itu.
Banjir terbaharu itu didorong oleh permulaan monsun timur laut, meskipun sebahagian kawasan yang dilanda banjir sejak minggu lalu mula reda.
Pusat Pengurusan Bencana semalam memaklumkan, 607 orang disahkan maut, manakala 214 lagi masih hilang.
Jumlah mangsa yang berlindung di pusat penempatan sementara dikendalikan kerajaan juga menurun kepada 170,000 orang, berbanding kemuncak 225,000 sebelum ini, susulan penyusutan paras banjir di ibu negara Colombo dan kawasan sekitarnya.
Hujan luar biasa yang direkodkan mencetuskan banjir dan kejadian tanah runtuh mengorbankan ramai penduduk, dengan Presiden Anura Kumara Dissanayake menyifatkannya sebagai bencana alam paling mencabar dalam sejarah negara itu.
Penduduk yang dipindahkan dari kawasan bukit yang berisiko tinggi tanah runtuh turut dinasihatkan supaya tidak kembali ke rumah mereka dalam masa terdekat, meskipun kediaman mereka tidak terjejas.
Semalam, amaran tanah runtuh baharu turut dikeluarkan meliputi kawasan tambahan yang sebelum ini tidak termasuk dalam senarai amaran.
Di bandar Gampola di kawasan tengah negara itu, penduduk sibuk membersihkan lumpur dan membaiki kerosakan akibat air.
Tentera Sri Lanka memaklumkan ribuan anggota dikerahkan ke kawasan terjejas banjir bagi membantu kerja-kerja pembersihan.
Pegawai tertinggi yang mengetuai usaha pemulihan, Pesuruhjaya-Jeneral Perkhidmatan Asas Prabath Chandrakeerthi berkata, kerajaan menyediakan bantuan sebanyak 25,000 rupee (RM1,142) bagi setiap rumah untuk kerja pembersihan, manakala kos pembinaan semula dianggarkan antara AS$6 bilion hingga AS$7 bilion (RM24.6 bilion hingga RM28.7 bilion).
Sebanyak 2.5 juta rupee tambahan turut diperuntukkan bagi memulakan pembinaan semula rumah yang musnah, dengan ebih 52,000 rumah dilaporkan rosak setakat pagi 5 Disember, menurut pihak berkuasa.- AFP










