Speaker DUN Perlis tunggu keputusan tindakan ke atas lima ADUN Bersatu - Utusan Malaysia

Speaker DUN Perlis tunggu keputusan tindakan ke atas lima ADUN Bersatu

Rus’sele Eizan ketika ditemui pemberita di Arau Perlis hari ini.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan masih menunggu sama ada
tindakan dikenakan ke atas lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang terlibat sama dalam gerakan menjatuhkan Mohd. Shukri Ramli.

Beliau berkata, Bersatu perlu membuat penetapan berhubung perkara itu sebelum pihaknya menyerahkan notis rasmi kekosongan tiga kerusi DUN kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) minggu depan.

Beliau juga perlu mengambil sedikit masa sebelum menghantar notis itu bagi meneliti perkara-perkara berkaitan secara menyeluruh.

“Perkara ini amat penting untuk diselesaikan kerana sekiranya berlaku perpecahan kecil dalam DUN Perlis dan tindakan diambil terhadap ADUN Bersatu, maka kekosongan baharu akan berlaku sekali lagi di mana berpotensi menimbulkan ketidaktentuan serta ketidakharmonian pentadbiran di Perlis.

“Dalam pemakluman saya kepada SPR nanti, kemungkinan saya mencadangkan agar keadaan ini dilihat secara menyeluruh, memandangkan majoriti atau bilangan kerusi dalam DUN Perlis adalah kecil, hanya 15 kerusi dan tiga kekosongan menjadikan situasi lebih kritikal,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Semalam, Menteri Besar, Mohd. Shukri mengumumkan peletak jawatan selepas mempersembahkan hasrat itu kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Ia susulan tindakan tiga ADUN Pas bersama lima yang lain dari Bersatu yang didakwa telah bertemu Raja Perlis bagi menyerahkan akuan berkanun (SD) menyatakan penolakan sokongan terhadap Mohd. Shukri.

Rus’sele berkata, pihaknya juga perlu menyegerakan penyerahan surat pemakluman itu kepada SPR kerana jika dilengahkan, kemungkinan Pilihan Raya Kecil (PRK) akan berlangsung pada bulan Ramadan.

“Namun, keputusan untuk menyegerakan atau tidak tetap tertakluk kepada budi bicara SPR malah saya hanya menyampaikan pandangan sebagai Speaker dan seterusnya terpulang kepada SPR untuk menentukan sama ada perlu diadakan PRK atau sebaliknya,” katanya.

Katanya, Pas di peringkat negeri juga masih menunggu sebarang keputusan atau arahan selanjutnya daripada pimpinan pusat berhubung perkara itu.

“Buat masa ini, kita masih menunggu arahan seterusnya daripada pimpinan Pas pusat dan kita tidak akan mendahului sebarang keputusan dibuat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN