Siasatan kebakaran Hong Kong dijangka selesai dalam sembilan bulan

Siasatan kebakaran Hong Kong dijangka selesai dalam sembilan bulan

PASUKAN bomba memadam kebakaran di blok pangsapuri yang terbakar di Hong Kong. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HONG KONG: Hong Kong akan berusaha menyelesaikan siasatan bebas terhadap kebakaran yang meragut sekurang-kurangnya 160 nyawa baru-baru ini, dalam tempoh sembilan bulan.

Pemimpin bandar itu, John Lee berkata memberi jaminan demikian selepas lebih dua minggu kebakaran itu memusnahkan tujuh menara kediaman tinggi, sekali gus mencetuskan persoalan besar mengenai punca tragedi yang turut memindahkan ribuan penduduk.

Kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas untuk menyiasat kebakaran yang berlaku di daerah Tai Po, berhampiran sempadan dengan tanah besar China, dan melantik Hakim David Lok, yang mempengerusikan Suruhanjaya Hal Ehwal Pilihan Raya, untuk mengetuai badan tersebut.

Jawatankuasa itu perlu menyiasat sama ada wujud masalah sistemik dalam industri pembinaan, konflik kepentingan atau pakatan sulit yang tidak wajar.

Ia juga akan menentukan sama ada terdapat manipulasi bidaan dalam sektor tersebut melibatkan pemberian kontrak.

Penduduk masih marah dengan insiden kebakaran yang mengambil masa hampir dua hari untuk dipadamkan selepas tercetus pada 26 November.

Pihak berkuasa berkata, bahan binaan berkualiti rendah yang digunakan dalam kerja pengubahsuaian di kawasan perumahan bertingkat tinggi itu menjadi punca kebakaran merebak dengan cepat.

Lee berkata, kerajaan akan bekerjasama dengan badan perundangan bandar untuk ‘mendorong pembaharuan institusi’ selepas insiden kebakaran tersebut, susulan beberapa desakan dan petisyen awam yang menuntut lebih banyak kebertanggungjawaban kerajaan serta pengawasan lebih ketat terhadap sektor pembinaan.

Bagi meredakan kekecewaan orang ramai, pihak berkuasa melancarkan siasatan jenayah dan rasuah berhubung kebakaran berkenaan.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN