Shamsul Iskandar nafi ambil perabot, barangan elektrik

Shamsul Iskandar nafi ambil perabot, barangan elektrik

SHAMSUL Iskandar Mohd Akin dan Albert Tei ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar @ Yusre Mohd. Akin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas empat pertuduhan menerima rasuah berupa wang tunai, perabot dan barangan elektrik berjumlah RM176,829.03, dua tahun lalu.

Turut didakwa atas empat pertuduhan di mahkamah sa­ma ialah ahli perniagaan yang dikatakan memberi rasuah tersebut, Tei Jiann Cheing atau lebih dikenali sebagai Albert Tei.

Mengikut pertuduhan pertama, Shamsul Iskandar didakwa telah bersetuju menerima suapan wang tunai RM100,000 daripada Albert Tei di kawasan tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin, di sini, pada 24 November 2023.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima suapan dalam bentuk kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM14,580.03 di antara 7 Disember 2023 hingga 31 Ja­nuari 2024 di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya di sini.

Pada 29 Januari 2024, di lokasi sama, Ketua Cabang PKR Hang Tuah Jaya itu didakwa menerima rasuah wang tunai RM40,000.

Bagi pertuduhan keempat, Shamsul Iskandar didakwa menerima rasuah dalam bentuk kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM22,249.00 daripada Albert di sebuah rumah di Jalan P14a 1/1, Presint 14, Putrajaya, dekat sini, 26 Februari 2024.

Kesemua rasuah itu didakwa sebagai dorongan untuk membantu syarikat-syarikat milik Albert memperoleh kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah walaupun perbuatan tersebut tidak berkaitan dengan hal ehwal tugas rasmi Shamsul Iskandar sebagai ejen kerajaan.

Pertuduhan di­kemukakan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan de­nda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Albert di­dakwa memberikan suapan RM100,000 kepada Shamsul Is­kandar, sebagai dorongan untuk membantu syarikatnya memperoleh kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah di kawasan tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishammuddin, di sini, pada 24 November 2023.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memberikan suapan berbentuk kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM14,580 kepada Pengerusi PKR Melaka itu di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya di sini di antara 7 Disember 2023 hingga 31 Janua­ri 2024.

Pada 29 Januari 2024, di lokasi sama, Albert didakwa memberikan suapan wang tunai RM40,000 kepada Shamsul Iskandar.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa memberikan rasuah berupa kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM22,249 kepada Shamsul Iskandar bagi tujuan sama, di sebuah rumah di Jalan P14a 1/1, Presint 14, Putrajaya dekat sini, 26 Februari 2024.

Kesemua pertuduhan dike­mukakan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pen­cegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Farah Ezlin Yusof Khan, manakala tertuduh-tertuduh diwakili pe­guam-peguam bela, Datuk Amer Hamzah Arshad dan Latheefa Koya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Suzana Hussin membenarkan Shamsul Iskandar diikat jamin RM150,000 manakala jaminan terhadap Albert ditetapkan sebanyak RM70,000.

Shamsul Iskandar selesai membayar jamin pada pukul 12.40 tengah hari manakala Albert melunaskan jaminan pada pukul 3.45 petang.

Suzana menetapkan 8 Ja­nuari tahun depan sebagai ta­rikh sebutan semula kes.

Sementara itu, peguam mewakili Shamsul Iskandar, Datuk Amer Hamzah Arshad me­minta orang ramai menghentikan spekulasi dan komen negatif terhadap anak guamnya itu.

Katanya, Shamsul Iskandar akan terus mempertahankan diri bagi membuktikan bahawa beliau tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.

“Semasa berada di Sabah untuk kempen (Pilihan Raya Negeri), beliau telah membuat laporan polis terhadap semua tohmahan yang ditujukan kepadanya dan juga terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pada setiap masa, Shamsul Iskandar mengekalkan prinsipnya bahawa beliau tidak bersalah. Oleh itu, beliau akan mengikut jalur hukum proses mahkamah bagi membersihkan namanya,” katanya ketika ditemui selepas tamat prosi­ding di Mahkamah Sesyen di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN