PUTRAJAYA: Bermula Jun tahun hadapan, semua pintu masuk utama negara akan menggunakan pintu pagar automatik atau autogate sepenuhnya.
Ia sebagai langkah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam memperkukuhkan kawalan keselamatan, sekali gus menangani isu counter setting.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, isu counter setting akan dapat ditangani apabila urusan pergerakan keluar masuk tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pegawai imigresen secara manual.
Katanya, ia melainkan melibatkan kes-kes tertentu yang memerlukan campur tangan manusia.
“Dengan pelaksanaan ini, tindakan terhadap pihak yang terlibat dalam counter setting juga lebih mudah diambil. Ini adalah langkah ke hadapan yang jelas dalam usaha memperkukuh integriti serta kawalan di pintu masuk negara.
“Ini menyentuh maruah negara, nama baik kerajaan serta integriti agensi. Oleh itu, penyelesaian perlu menyeluruh,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabat beliau di sini baru-baru ini.
Menurut Saifuddin, sistem ini akan menggunakan teknologi seperti pengecaman wajah dan sistem IRIS yang mana beberapa ujian sudah pun dijalankan, termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan pemasangan sedang dilaksanakan secara berfasa.
Kata beliau, pihaknya sedang mengumpul data setiap hari untuk menilai kestabilan sesuatu sistem sebelum digunakan sepenuhnya.
“Di Kompleks Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), jumlah pergerakan harian dianggarkan sekitar 500,000 pengguna, dengan 85 peratus daripadanya melibatkan penunggang motosikal dan pengguna bas.
“Oleh itu, syarikat pelaksana yang telah membangunkan sistem akan menukar gate sedia ada kepada autogate dan ujian akan dijalankan beberapa bulan sebelum pelaksanaan penuh yang dijangka pada suku pertama atau kedua tahun depan,” katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, pihaknya memandang serius ancaman keselamatan di sempadan terutama melibatkan kegiatan penyeludupan, anasir-anasir kumpulan jenayah, pengintipan, ataupun elemen militan yang boleh memberi kesan kepada ekonomi, politik dan sosial.
Beliau berkata, hubungan di peringkat Menteri-Menteri Dalam Negeri ASEAN turut mengadakan perbincangan bagaimana untuk menangani jenayah rentas sempadan melalui dasar dan tadbir urus peringkat kerajaan.
Katanya, tiga perkara yang boleh dilakukan secara bersama ialah perkongsian kepakaran, operasi bersama dan melaksanakan proses pembangunan kapasiti antara agensi penguat kuasa semua negara.
“Jadi ikhtiarnya melalui pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) termasuk penggunaan dron, bilik kawalan, serta sistem kawalan lain untuk menangani potensi ancaman seperti pemerdagangan manusia, dadah, senjata, dan elemen militan.
“Sebagai contoh, di sempadan utara yang panjangnya kira-kira 5.3 atau 5.4 kilometer, kita telah memasang sekitar 40 unit CCTV. Kita juga ada beberapa unit dron yang memantau seluruh kawasan sempadan.
“Data dikumpulkan di bawah satu pusat kawalan di bawah polis. Ini membolehkan kita mengumpul dan menganalisis data. Kalau ada pergerakan mencurigakan, kita boleh membangunkan predictive model,” katanya.
Dengan pemantauan 24 jam, beliau berkata, pihak berkuasa dapat mengesan pergerakan mencurigakan pada waktu tertentu, misalnya pada tengah malam.
Jelasnya, data itu memberi kelebihan untuk menjangka potensi ancaman keselamatan dan seterusnya mengambil langkah mitigasi.
“Jadi, CCTV dan dron adalah salah satu ikhtiar dalam konteks kawalan keselamatan, setelah kita ada kerangka tadbir urus dengan negara jiran.
“Misalnya, sebelum ini ada kes pihak Thailand menahan seorang lelaki yang membawa masuk senjata dan peluru. Itu hasil perkongsian maklumat risikan dan operasi bersama. Kes ini tidak perlu pun CCTV, tetapi kerana kerjasama baik, kejayaan dapat dicapai. Banyak lagi anekdot lain yang boleh saya contohkan,” katanya.
Pada masa sama, Saifuddin berkata, pelbagai lagi penggunaan teknologi canggih kawalan keselamatan boleh diaplikasikan, contohnya dron yang boleh terbang sehingga 20,000 kaki, dan ada yang dikendalikan melalui kuasa diesel atau bateri.
Malah, katanya, terdapat teknologi dron yang boleh menyuluh imej dari Laut China Selatan hingga ke Kalimantan dengan rakaman amat jelas.
“Semua ini membolehkan kita mengesan. Itulah teknologi semasa yang kita sesuaikan dengan keperluan kita,” katanya. – UTUSAN










