ARAU: Kejohanan Sanglang Super Cup 2025 yang diadakan di padang Majlis Perbandaran Kangar (MPK) Simpang Empat di sini menghangatkan bola sepak komuniti serta memberi peluang kepada pemain muda menunjukkan kemampuan.
Kejohanan itu menyaksikan penyertaan pasukan–pasukan tempatan dari sekitar Perlis dan zon utara.
Majlis perasmian kejohanan itu disempurnakan oleh Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Rozabil Abd. Rahman yang turut menyaksikan perlawanan pembukaan.
Pengurus Sanglang City FC, Zahir Saidin berkata, kejohanan itu bukan sahaja menjadi medan persaingan pasukan, tetapi platform pembangunan bakat muda di kawasan Sanglang dan Arau.
“Sambutan kali ini amat memberangsangkan dengan antaranya menampilkan beberapa pasukan pilihan seperti Sariap FC, Simpang 4 FC, Putra Pauh FC serta Sanglang City FC.
“Format kejohanan merangkumi perlawanan peringkat kumpulan, separuh akhir dan final yang dijangka berlangsung sengit,” katanya.
Kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai bernilai lebih RM2,500 iaitu johan RM1,500, naib johan RM500, tempat ketiga RM300 dan tempat keempat RM250.
Sanglang Super Cup 2025 dijangka menjadi antara acara sukan komuniti paling penting di kawasan Arau serta usaha berterusan memperkukuh budaya sukan di negeri ini.-UTUSAN










