Sambutan luar biasa dua kejohanan badminton tertutup Pahang, catat lebih 900 penyertaan - Utusan Malaysia

Sambutan luar biasa dua kejohanan badminton tertutup Pahang, catat lebih 900 penyertaan

TENGKU Aidy Ahmad Shah Tengku Kamil Ismail (depan, berdiri, tengah) bergambar bersama peserta Kejohanan Badminton Piala Tengku Ilisha Remaja Pahang & Piala Presiden Tertutup Pahang 2025 di Dewan Badminton Pahang di Kuantan, Pahang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Dua kejohanan badminton tertutup Pahang, Kejohanan Badminton Piala Tengku Ilisha Remaja Pahang 2025 dan Kejohanan Badminton Piala Tengku Ilisha Remaja Pahang & Piala Presiden Tertutup Pahang 2025 mendapat sambutan luar biasa apabila lebih 900 peserta menyertai pertandingan tersebut.

Kejohanan pertama yang berlangsung pada 21 hingga 23 November lalu melibatkan kategori bawah usia 7, 9, 11 dan 13 tahun dengan jumlah penyertaan seramai 525 peserta.

Hadiah keseluruhan yang ditawarkan mencecah RM11,600 dengan perseorangan setiap kategori menerima RM550 manakala beregu RM900.

Kejohanan kedua yang berlangsung pada 4 hingga 7 Disember lalu turut mencatatkan penyertaan memberangsangkan dengan 467 peserta.

Ia melibatkan kategori bawah 15 dan 17 tahun, selain acara lelaki terbuka perseorangan dan beregu serta kategori veteran 40 dan 50 tahun.

Hadiah keseluruhan bagi kejohanan kedua pula berjumlah RM17,500 dengan perseorangan setiap kategori menerima RM1,200 manakala beregu RM1,900, sekali gus menjadikan pertandingan ini antara yang terbesar di Pahang bagi tahun ini.

Presiden Persatuan Badminton Pahang, Tengku Aidy Ahmad Shah Tengku Kamil Ismail berkata, sambutan luar biasa daripada peserta jelas menunjukkan minat mendalam masyarakat terhadap sukan badminton, khususnya di peringkat akar umbi.

“Penyertaan yang tinggi ini menandakan badminton terus berkembang sebagai sukan pilihan rakyat Pahang. Ia juga membuktikan usaha persatuan dalam melahirkan bakat baharu semakin membuahkan hasil,” katanya.

Beliau menambah, kejohanan itu bukan sahaja memberi peluang kepada pemain muda menimba pengalaman, malah membuka ruang kepada pemain veteran untuk terus aktif dan menyumbang kepada pembangunan sukan badminton negeri.

“Persatuan akan terus memperkukuh program pembangunan dengan penganjuran kejohanan secara berterusan. Matlamat kita adalah melahirkan lebih ramai pemain berpotensi yang mampu mewakili negeri dan negara pada masa hadapan,” ujarnya.

TENGKU Aidy Ahmad Shah Tengku Kamil Ismail (duduk, empat dari kanan) kekal menyandang jawatan Presiden Persatuan Badminton Pahang dalam Mesyuarat Agung Persatuan Badminton Pahang kali ke-46 2025/2027 pada 5 Julai 2025.

Sementara itu, dalam Mesyuarat Agung Persatuan Badminton Pahang kali ke-46 2025/2027 pada 5 Julai lalu, jawatan presiden persatuan tersebut kekal disandang Tengku Aidy Ahmad Shah.

Dalam mesyuarat tersebut, diusulkan pindaan perlembagaan pemegang jawatan daripada dua tahun ke empat tahun dan usul itu diluluskan Pesuruhjaya Sukan pada 22 September lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN