Saarani sanggah dakwaan projek PPK dibatalkan

Saarani sanggah dakwaan projek PPK dibatalkan

SAARANI Mohamad ketika sesi penggulungan Belanjawan Perak 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyanggah dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kenering, Mohamad Husairi Ariffin berhubung pembatalan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Tawai, Gerik.

Menurut beliau, dakwaan itu tidak benar kerana tiada projek PPRT di kawasan berkenaan, sebaliknya projek yang dirujuk adalah Program Pembangunan Kawasan (PPK).

Katanya, projek PPK mendapat peruntukan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan ia masih pada peringkat cadangan permohonan untuk dimasukkan ke dalam Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“ADUN Kenering mengatakan bahawa ada satu projek PPRT di Kampung Tawai yang katanya telah pun mendapat kelulusan RM50 juta tetapi terpaksa dibatalkan kerana ada bantahan orang kampung termasuk Ahli Parlimen Lenggong.

“Saya ini Ketua UMNO Bahagian Lenggong, saya tak akan biarkan perkara ini berlaku sebab itu saya rujuk pegawai daerah dan cari maklumat.

“Saya hubungi orang Kampung Tawai dan Datuk Shamsul (Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah) untuk tahu adakah dakwaan yang dibuat ADUN Kenering itu benar, tidak benar,” katanya ketika sesi penggulungan Belanjawan Perak 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

Menurut beliau, memang terdapat bantahan penduduk Kampung Tawai berkaitan projek PPK kerana kawasan itu telah dicadangkan untuk Projek Perumahan Tersusun (RPT)

Katanya, pentadbiran daerah mengambil kira bantahan tersebut dan merancang untuk memindahkan lokasi projek ke tempat lain, bukan membatalkannya.

“Ahli Parlimen Lenggong tidak membantah sama sekali dan PPK yang dicadang dibina di Kampung Tawai di atas tanah milik kerajaan negeri telah mendapat kelulusan RM50 juta, adalah salah. Belum lulus lagi, baru mohon,” katanya.

Saarani berkata, beliau kesal apabila DUN dijadikan tempat untuk wakil rakyat berhujah dengan memberi fakta yang salah, berbohong dan berbaur fitnah.

Tegasnya, semua pihak tidak boleh berhujah dan berbahas menggunakan perkara-perkara yang tidak benar kerana setiap keputusan yang dimuktamadkan dalam sidang DUN akan menjadi undang-undang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN