Remaja perempuan kes rogol didakwa di Mahkamah Syariah

Remaja perempuan kes rogol sama suka didakwa di Mahkamah Syariah

MOHD. Yusoff Mamat (dua kiri) menyampaikan surat penghargaan kepada anggotanya yang berkhidmat cemerlang semasa perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, Kelantan hari ini.-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Remaja perempuan bawah umur di negeri ini yang terlibat dengan rogol suka sama suka akan didakwa Mahkamah Syariah.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, tindakan itu dilakukan melalui kerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) hasil perbincangan dua bulan lalu.

Katanya, keputusan itu turut selari dengan titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

“Setakat ini sudah lima kes melibatkan seks suka sama suka telah dirujuk kepada Jaheaik untuk tindakan lanjut. Namun perkara ini tidak dihebahkan kepada umum.

“Kesemua kes ini melibatkan golongan remaja bawah 16 tahun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) di sini hari ini.

Mohd. Yusof memberitahu, kes rogol di Kelantan menunjukkan penurunan ketika ini.

Katanya, berkemungkinan besar mangsa atau ibu bapa tidak berani untuk membuat laporan berkaitan kes tersebut.

“Laporan yang kita terima ketika ini adalah hari pegawai perubatan selepas mendapati mangsa hamil semasa pemeriksaan dijalankan.

“Untuk kes amang seksual melibatkan remaja wanita berusia 18 tahun akan turut didakwa di Mahkamah Syariah,” ujarnya.

Utusan Malaysia 21 November lalu melaporkan, polis mencadangkan penelitian semula terhadap peruntukan undang-undang sedia ada berhubung kes rogol membabitkan hubungan suka sama suka remaja bawah umur, yang ketika ini hanya mengenakan pertuduhan terhadap pelaku lelaki.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, walaupun kedua-dua pihak terbabit secara rela, namun hanya lelaki boleh didakwa di bawah undang-undang semasa.

Katanya, perkara itu dilihat tidak adil dan peruntukan undang-undang berkenaan perlu diteliti semula agar tindakan turut diambil terhadap perempuan yang terlibat dengan kes seumpama itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN