ILLINOIS: Seorang remaja dari Illinois, Amerika Syarikat (AS) memecahkan Rekod Dunia Guinness dengan membina replika Menara Eiffel setinggi 527.9 sentimeter (cm) menggunakan kira-kira 20,000 pencungkil gigi.
Penduduk Naperville, Eric Klabel berkata, kerjaya bapanya sebagai jurutera awam memberi inspirasi kepadanya untuk berminat dalam pembinaan sejak usia muda.
“Semasa saya masih kecil, saya benar-benar berminat untuk membina sesuatu daripada batang aiskrim,” kata Klabel.
Dia akhirnya membina menara setinggi 615 cm daripada batang aiskrim pada 2021, ketika usianya mencecah 12 tahun, dan memecahkan Rekod Dunia Guinneess pertama.
Rekod itu kemudiannya dipecahkan, tetapi Klabel meraih Rekod Dunia Guinness kedua pada Oktober lalu apabila dia mengambil projek baharu menggunakan pencungkil gigi.
“Perkara yang menjengkelkan tentang pencungkil gigi berbanding batang aiskrim, ia sangat kecil,” katanya.
Dia berjaya menggunakan hanya pencungkil gigi dan gam untuk membina model Menara Eiffel setinggi 527.9 cm, meraih rekod sebagai arca pencungkil gigi tertinggi di dunia.- AGENSI










