Rakyat Johor dapat nikmati tren terus ke KL Sentral mulai 12 Disember - Utusan Malaysia

Rakyat Johor dapat nikmati tren terus ke KL Sentral mulai 12 Disember

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan tren elektrik (ETS) ke JB Sentral bakal beroperasi secara rasmi bermula 12 Disember ini, sekali gus menandakan pembukaan penuh laluan baharu susulan siapnya Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru (PLBEGJB).

KTMB dalam sidang akhbarnya memaklumkan, empat perkhidmatan sedia ada laluan KL Sentral–Kluang–KL Sentral dilanjutkan hingga ke JB Sentral, dengan jualan tiket mula dibuka tepat 12.30 tengah malam, 9 Disember.

Tiket ditawarkan bagi tempoh enam bulan perjalanan sehingga Mei 2026 melalui aplikasi KITS Style, mesin kios dan laman sesawang rasmi KTMB.

Menurut KTMB, projek PLBEGJB yang melibatkan jajaran sepanjang 192 kilometer dengan 11 stesen baharu itu siap mengikut jadual, namun pengaktifan penuh perkhidmatan ETS ke sektor Utara akan dilakukan secara berfasa mengikut proses pentauliahan set tren.

Ketua Pegawai Teknikal merangkap pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Ir. Ahmad Nizam Mohamed Amin berkata, pembukaan laluan baharu itu memberi manfaat besar kepada penduduk Johor yang kini boleh menikmati perjalanan terus ke KL Sentral sebelum bersambung ke destinasi Utara dan Pantai Timur.

Katanya, penyediaan perkhidmatan yang selamat, selesa dan bersepadu itu turut merancakkan sektor pelancongan dengan menarik lebih ramai pengunjung termasuk dari Singapura.

Beliau menambah, pelaksanaan laluan tersebut hadir tepat pada musim cuti hujung tahun, sekali gus memudahkan rakyat Malaysia bercuti ke Johor dan menyediakan perjalanan lebih pantas serta teratur kepada warga Johor yang menuju ke destinasi lain.

KTMB turut menawarkan diskaun istimewa 30 peratus bagi sektor Selatan dari 12 Disember hingga 11 Januari dengan kod promosi JBBEST, terhad kepada 5,000 pengguna.

KTMB mengingatkan penumpang supaya tiba sekurang-kurangnya 30 minit sebelum tren berlepas kerana pintu masuk ditutup lima minit sebelum pergerakan.

Maklumat lanjut dan pembelian tiket boleh dibuat melalui aplikasi KITS Style, mesin kios atau laman sesawang KTMB.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN