KLANG: Kerajaan negeri mengarahkan sama ada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) atau Jabatan Perhutanan Negeri Selangor bagi menyiasat dakwaan pembersihan hutan secara haram berhampiran Taman Damai, Batu 18, Hulu Langat.
Siasatan dan tindakan dilakukan berikutan aktiviti di lereng bukit itu didakwa menyebabkan kejadian banjir berulang seperti di Jalan dan Kampung Sungai Serai, Sungai Lui, Kampung Jawa, Batu 18, Dusun Tua, Batu 14, Batu 13 serta Dusun Nanding.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau meminta jabatan berkaitan menyiasat perkara tersebut yang menjadi salah satu faktor kejadian banjir berulang di sana.
“Kita akan lihat dahulu apa benda yang berlaku. Kita akan minta jabatan terbabit untuk siasat, yang ada kaitan dengan rizab sungai akan dilakukan oleh JPS, kalau hutan Jabatan Perhutanan akan ambil tindakan,” katanya ketika ditemui, malam tadi.
Sabtu lalu, Utusan Malaysia melaporkan penarahan bukit secara haram di kawasan berkenaan dikesan pihak berkuasa dan dipercayai menjadi punca utama kejadian banjir berulang di Hulu Langat sejak bulan lalu.
Situasi berkenaan didedahkan Ketua Kampung Batu 18, Mohammad Firdauz Mohd. Ayob yang mendakwa kerja tanah di kawasan berkenaan mengakibatkan bertan-tan pasir serta lumpur turun ke longkang kawasan rumah penduduk, sekali gus menyebabkan longkang dan parit tersumbat setiap kali hujan lebat.
Menurutnya, penarahan bukit itu ditemui menerusi tinjauan bersama pegawai Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan JPS Hulu Selangor yang menggunakan dron bagi memeriksa keadaan tapak sebelum mengesahkan kewujudan kerja tanah tanpa kelulusan.
Amirudin berkata, selain itu Projek Tebatan Banjir Sungai Langat Fasa 2 juga akan disegerakan bagi menyelesaikan masalah banjir di daerah berkenaan yang kini masih dalam proses reka bentuk.
“Masih lagi dalam peringkat reka bentuk, kalau ia dapat diselesaikan saya percaya ia menyelesaikan masalah banjir di Hulu Langat sebab ia (air) dari sana akan pergi ke Kuala Langat dan Sepang.
“Jadi, dua itu bersambungan, kalau keseluruhan projek itu belum siap atau tidak dilaksanakan, ia akan mengambil masa (penyelesaian isu banjir).
”Memang projek-projek JPS akan mengambil masa yang panjang terutama dalam reka bentuk dan perlu mencari solusi untuk mengelak masalah itu berulang kembali,” jelasnya. – UTUSAN










