KANGAR: Projek rintis pembukaan semula zon aliran bebas Wang Kelian ditangguhkan sehingga satu tempoh dimaklumkan kelak.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, penangguhan pelaksanaan itu adalah berikutan insiden tanah runtuh melibatkan 11 lokasi sepanjang laluan utama yang menghubungkan Wang Kelian ke Wang Prachan, Thailand susulan bencana banjir pada minggu lepas.
“Berdasarkan penilaian teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, keadaan semasa di lokasi berkenaan adalah tidak selamat dan pihak terlibat menasihati supaya laluan itu ditutup sementara kecuali kepada kenderaan ringan sahaja,” katanya selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Seri Putra, di sini, hari ini.
Mohd. Shukri berkata, buat masa ini, kerja-kerja pembaikan di kawasan itu juga sedang giat dijalankan dan dijangka mengambil masa antara enam sehingga 12 bulan untuk disiapkan.
“Sehubungan itu, mengambil kira aspek keselamatan jalan dan orang awam, kerajaan negeri menyokong penuh cadangan penangguhan projek rintis Zon Aliran Bebas Wang Kelian sehingga ke satu tarikh baharu yang akan ditetapkan setelah laluan tersebut disahkan benar-benar selamat,” katanya.
Mohd Shukri berkata, bagi memastikan penduduk Kampung Wang Kelian yang berhadapan risiko untuk mendapatkan bekalan makanan dan keperluan asas lain, kerajaan negeri juga mencadangkan satu ‘laluan aliran bebas khas’ diwujudkan antara penduduk kampung itu dan Wang Prachan.
Katanya, bagaimanapun, cadangan itu masih di dalam peringkat perbincangan awal dan akan diperhalusi oleh pihak berkuasa terlibat dalam tempoh terdekat.
“Pada masa ini, kerajaan negeri dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan agensi berkaitan juga sedang membuat penilaian kerosakan serta melaksanakan kerja-kerja pembersihan pasca banjir,” katanya.-UTUSAN










