Berkongsi rasa prihatin terhadap krisis kemanusiaan yang sedang melanda Palestin dan Sudan, satu program amal berskala komuniti bertajuk Solidariti Mesra Setiawangsa untuk Palestin dan Sudan telah diadakan bermula semalam sehingga Isnin depan.
Dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Zon Setiawangsa (MPPWP Zon Setiawangsa), program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan selebriti terkenal tanah air.
Bertemakan “Beribadah Sambil Bersolidariti”, program ini menggabungkan elemen ibadah, kesedaran kemanusiaan, seni, kebudayaan serta aktiviti kekeluargaan dalam usaha mengumpul dana, di samping menyemai semangat empati dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat.
Menurut Pengerusi MPPWP Zon Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki, selain bertujuan menyediakan program riadah untuk penduduk setempat khususnya mereka yang tinggal di Setiawangsa, penganjuran program ini juga menjadi medium untuk menyampaikan maklumat penting berkaitan krisis kemanusiaan yang sedang melanda Palestin dan Sudan.
“Pastinya objektif utama adalah untuk memastikan ukhuwah dalam kalangan penduduk Setiawangsa terus terpelihara. Pada saya, ini merupakan antara usaha kami untuk merapatkan hubungan, sekali gus menjadikan komuniti di sini lebih mesra.
“Selain itu, pada masa yang sama program ini turut memberi peluang kepada pihak kami untuk berkongsi maklumat terkini mengenai keadaan saudara-saudara kita yang terus diuji dengan krisis kemanusiaan, terutamanya di Palestin dan Sudan,” katanya.
Sementara itu, antara barisan selebriti yang dijadualkan hadir sepanjang lima hari penganjuran program ini ialah Noraniza Idris, Heliza Helmi, Zizi Kirana, Johan Raja Lawak, serta ramai lagi.










