PPP kekal setia bersama BN - Utusan Malaysia

PPP kekal setia bersama BN

LOGA Mohan (tiga kiri) bersama Timbalan Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Ab. Hamid Mohd. Nazahar (tiga kanan) pada majlis perasmian Konvensyen PPP Pahang di Bentong, Pahang. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Parti Progresif Penduduk (PPP) menegaskan kesetiaan kepada Barisan Nasional (BN) tidak pernah goyah walaupun terpaksa mengambil keputusan drastik menyingkirkan presiden parti itu yang menentang gabungan tersebut seperti dilakukan pada Mei 2018.

Presiden PPP, Datuk Dr. Loga Mohan berkata, prinsip dan pendirian parti itu jelas sejak awal penubuhannya iaitu berdiri teguh bersama BN demi kestabilan politik serta kesejahteraan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Menurutnya, ketika banyak parti komponen memilih untuk keluar, menjauhkan diri atau mengambil sikap ‘berpatah arang’ susulan kemelut politik yang melanda UMNO dan BN, PPP sebaliknya kekal setia kerana yakin dengan matlamat murni penubuhan gabungan tersebut.

“Kesetiaan PPP tidak boleh dipertikaikan. Kami satu-satunya parti yang sanggup menyingkirkan presiden sendiri kerana enggan mengkhianati prinsip dan rakan gabungan dalam Barisan Nasional,” katanya dalam sidang akhbar selepas Konvensyen PPP Negeri Pahang 2025 di Bangunan UMNO di sini hari ini.

Loga Mohan berkata, PPP bukan parti yang akan meninggalkan gabungan apabila berdepan kekalahan atau cabaran politik, sebaliknya memilih untuk terus bertahan dan memperjuangkan prinsip yang diyakini demi kepentingan rakyat.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, PPP akan terus menilai situasi politik semasa sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan penyertaan parti tersebut dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.

Katanya, PPP tidak akan menggunakan tekanan atau ugutan politik untuk mendapatkan kerusi, sebaliknya hanya akan bertanding jika parti itu layak dan mampu memberikan sumbangan bermakna kepada rakyat di kawasan terbabit.

Mengulas isu pendidikan, Loga Mohan mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Diraja Pendidikan bagi mengkaji semula sistem sedia ada yang disifatkan semakin gagal membina perpaduan nasional seperti yang berjaya dibentuk pada era awal kemerdekaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN