JAKARTA: Indonesia mengerahkan 1,500 anggota polis tambahan bagi memperkukuh usaha tindak balas bencana di kawasan Sumatera yang terjejas banjir dan tanah runtuh bulan lalu.
Langkah itu dibuat selepas pegawai kanan memberi amaran anggota barisan hadapan kini menghadapi keletihan fizikal dan mental yang melampau selepas hampir sebulan bertugas.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya Polis Negara, Dedi Prasetyo berkata, anggota yang ditempatkan di kawasan terjejas bekerja tanpa henti sejak bencana berlaku pada 25 November, dan menggesa penambahan segera anggota bagi memastikan pemulihan pasca bencana dapat diteruskan.
“Tahap keletihan fizikal dan psikologi anggota sudah sangat tinggi. Anggota kami benar-benar penat. Kita memerlukan bantuan baharu, sama ada dari Ibu Pejabat Polis atau unit Briged Bergerak Kebangsaan (Brimob),” katanya.
Beliau berkata, pihak kepimpinan polis sedang menyediakan pelan giliran tugas dan penambahan anggota bagi mengekalkan kecekapan operasi dalam beberapa bulan akan datang.
Katanya, ketua operasi polis, Jeneral Fadil Imran, sedang merangka penempatan anggota tambahan daripada beberapa komando polis wilayah antara Januari dan Februari 2026.
Kerahan 1,500 anggota polis tambahan itu dijalankan atas permintaan Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB).
Daripada jumlah itu, kira-kira 600 anggota akan ditempatkan di Aceh Tamiang dan Aceh Utara, manakala baki 900 anggota berasal dari unit Brimob Nusantara, yang diambil dari Ibu Pejabat Polis serta unit wilayah di seluruh negara.
“Jumlah keseluruhan 1,500 anggota akan ditempatkan menjelang akhir tahun ini,” kata Dedi.
Sementara itu, BNPB melaporkan jumlah kematian akibat banjir dan tanah runtuh di Sumatera Barat, Sumatera Utara dan Aceh terus meningkat.
Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana BNPB, Abdul Muhari berkata, angka kematian melebihi 1,130 orang, dengan 163 individu dilaporkan masih hilang di ketiga-tiga wilayah.










