TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, dinobatkan sebagai wanita ketiga paling berpengaruh di dunia oleh majalah Forbes pada 10 Disember apabila penerbitan Amerika Syarikat (AS) itu mengumumkan senarai 100 wanita berpengaruh untuk 2025.
Perdana menteri wanita pertama Jepun itu berada di belakang Ursula von der Leyen, presiden Suruhanjaya Eropah, dan ketua Bank Pusat Eropah, Christine Lagarde. Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, menduduki tempat keempat.
Dalam mengumumkan kedudukan tahunan ke-22, Forbes berkata, wanita dalam senarai itu ‘mewakili babak baharu kepimpinan global, yang ditakrifkan oleh inovasi yang melampaui batas, impak geopolitik, pengaruh yang mengubah budaya dan prestasi kewangan yang memecah rekod.
Forbes berkata, Takaichi menjadi perdana menteri wanita pertama Jepun pada Oktober, mengetuai ekonomi bernilai AS$4.2 trilion (RM17.23 trilion) pada ketika keselamatan semikonduktor, penyusunan semula pertahanan dan tekanan demografi bertembung.
“Kesemua keputusan ini akan membentuk dinamik kuasa Asia Timur serta kestabilan pengeluaran global,” katanya.
Dalam halaman profil Takaichi, majalah itu menggambarkannya sebagai seorang konservatif tegas yang menganggap bekas perdana menteri Britain, Margaret Thatcher, sebagai contoh politiknya.
“Takaichi sedang memainkan peranan itu memandangkan ekonomi keempat terbesar di dunia itu menghadapi cabaran inflasi dan kelembapan gaji yang biasa,” menurut Forbes.
Senarai itu terdiri daripada wanita dalam pelbagai profesion di 25 negara, dengan 44 peratus daripada mereka memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan separuh daripada mereka yang tersenarai berada di Amerika Utara.
Wanita tertinggi dalam sektor swasta, di tangga keenam, ialah Julie Sweet, Ketua Pegawai Eksekutif firma perundingan global, Accenture.
Selain Takaichi, yang merupakan satu-satunya wanita berpangkalan di Jepun dalam senarai itu, wanita dari negara dan wilayah seperti China, Hong Kong dan Singapura turut dipilih dari Asia, termasuk Sandy Ran Xu dari gergasi e-dagang China, JD.com, dan Tan Su Shan dari kumpulan perbankan berpangkalan di Singapura, DBS Bank.- AGENSI










