KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas ahli Parlimen pembangkang yang didakwa cuba memutar belitkan fakta mengenai pelaksanaan projek transit aliran ringan (LRT) di Pulau Pinang.
Anwar mempersoalkan mengapa wakil rakyat pembangkang tidak menjadikan kos projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai isu yang pembinaannya mencecah lebih RM50 bilion.
“Ini contoh fakta itu dipusingkan. Saya bagi contoh, mengapa Pulau Pinang ada LRT? Mengapa tidak sebut bahawa ECRL itu kosnya RM40 ke RM50 bilion yang memberi faedah ke semua negeri termasuk Kelantan dan Terengganu?
“Itu (projek ECRL) kosnya tinggi tetapi kita tidak persoal kerana kita anggap projek itu sudah dilaksanakan, cuma bezanya kerajaan sekarang dapat mengurangkan kos dan menentukan sub kontrak itu kepada (kontraktor) tempatan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang menyifatkan projek LRT di Pulau Pinang sebagai tidak terlalu diperlukan.
Perdana Menteri berkata, peningkatan kos projek LRT di Pulau Pinang kerana kerajaan mahu pengangkutan awam itu tidak kekal dalam pulau sahaja tetapi dipanjangkan ke seberang.
“Pulau Pinang dalam lima tahun ini tidak ada projek besar, LRT ini kita kena faham, ia bukan perbelanjaan pembangunan, sebahagiannya itu perbelanjaan pembangunan (dan) sebahagian (lagi) melalui bon yang harus dibayar balik.
“Mengapa (kos) ditingkatkan daripada awal, kerana saya cadangkan kalau dia teruskan LRT, jangan hanya di pulau, fikirkan seberang, (di sana) majoriti (kaum) Melayu dan pembangunan harus lebih meluas, memberi faedah di Seberang Perai, Kedah, Perlis serta Perak,” katanya.
Mengulas mengenai kritikan terhadap Kota Madani di Putrajaya, Anwar berkata, kerajaan tidak memberikan dana terhadap projek tersebut tetapi ia ditanggung sepenuhnya oleh Perbadanan Putrajaya.
“Yang nak marah sangat dengan pegawai kerajaan kenapa? Kota Madani itu 10,000 rumah penjawat awam di sekitar Putrajaya kerana sekarang ini kita tidak dapat menampung, bukan kota mega, ini bukan menara berkembar.
“Ia cuma sebab ia baru dibangunkan jadi mesti kota pintar, mesra teknologi kecerdasan buatan (AI) dan indah. Apa salahnya? 10,000 itu penjawat awam. Saya nak dengar Hulu Terengganu pergi Putrajaya, bagitahu penjawat awam bahawa beliau tidak setuju dengan projek perumahan penjawat awam,” ujarnya. – UTUSAN










