RANTAU PANJANG: Penduduk di lebih 20 buah kampung di sini merayu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk campur tangan dengan membina terusan pintas bagi menyelesaikan banjir buruk melanda penempatan mereka susulan pembinaan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.
Penghulu Tanpa Mukim Dewan Undangan Negeri (DUN) Gual Periok, Sabri Muhammad berkata, pembinaan itu merupakan langkah terbaik sekali gus mengurangkan risiko banjir buruk yang perlu dihadapi sejak PLBS Sungai Golok bermula 2021.
Katanya, cadnagan pembinaan terusan itu melibatkan Sungai Lanchang-Lemal-Alor Mengkuang sejauh 14.2 meter yang dijangka mampu mengubah aliran air banjir terus ke Sungai Pengkalan Nangka di Tumpat.
“Air banjir itu kemudiannya akan terus mengalir ke Laut China Selatan. Pada masa sama ia berupaya menghapuskan fenomena arus songsang yang menjadi punca utama banjir besar dan banjir termenung.
“Pembinaan itu juga turut mampu menurunkan paras banjir antara 1 hingga 3.5 meter. Penyelesaian ini adalah satu-satunya intervensi teknikal yang menyelesaikan masalah dari akar umbi dan bukan sekadar penyelesaian sementara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sabri memberitahu, kaedah yang telah digunakan sebelum ini termasuk pembinaan ban dan terowong air tidak mencukupi dan kurang berkesan dalam membantu menyelesaikan punca utama banjir.
Katanya, penduduk berharap Perdana Menteri dapat campur tangan dan melihat masalah ini sebaik mungkin supaya ia tidak berulang sekali gus mengurangkan kerugian dialami penduduk.
“Sejak 2022 lalu (pembinaan PLSB Sungai Golok), penduduk di kawasan ini berdepan banjir buruk sehingga air mencecah paras bumbung sekali gus terburuk dalam sejarah.
“Sebelum PLSB Sungai Golok, banjir sering melanda kampung kami, namun diparas biasa sahaja dan tidak melibatkan kerosakan yang teruk,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan, penduduk kampung berdekatan projek tebatan banjir, Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok, menggesa kerajaan membina terowong pada benteng terbabit bagi mengatasi masalah air tersekat.
Gesaan penduduk Kampung Tersang, Kampung Bendang Perol dan Kampung Gual To’Deh itu berikutan ratusan rumah berdepan pula masalah banjir termenung sejak hampir sebulan kerana air tidak dapat mengalir ke sungai.-UTUSAN










