TUMPAT: Kerajaan Kelantan belum memaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pelaksanaan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok perlu dilaksanakan berdasarkan kajian lapangan yang teliti serta mengambil kira keperluan sebenar masyarakat setempat dan bukan sekadar berpaksikan pelan di atas kertas.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Saizol Ismail bagaimanapun berkata, kerajaan negeri sentiasa mengambil maklum keluhan yang disuarakan oleh penduduk yang terkesan dengan projek berkenaan.
“Isu yang timbul ini adalah pelaksanaan projek yang belum sempurna lagi.
“Dari sudut teknikal kerajaan negeri serahkan perkara ini kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya semasa ditemui pemberita selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Tapak Tangki Kampung Laut di sini hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, penduduk di lebih 20 buah kampung di sini merayu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk campur tangan dengan membina terusan pintas bagi menyelesaikan banjir buruk melanda penempatan mereka susulan pembinaan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.
Penghulu Tanpa Mukim Dewan Undangan Negeri (DUN) Gual Periok, Sabri Muhammad berkata, pembinaan itu merupakan langkah terbaik sekali gus mengurangkan risiko banjir buruk yang perlu dihadapi sejak PLBS Sungai Golok bermula 2021.
Katanya, cadangan pembinaan terusan itu melibatkan Sungai Lanchang-Lemal-Alor Mengkuang sejauh 14.2 meter yang dijangka mampu mengubah aliran air banjir terus ke Sungai Pengkalan Nangka di Tumpat.-UTUSAN










